Karnival Jualan Mega Malaysia kembali sekali lagi! Anda dapat melihat papan tanda jualan murah di mana-mana pusat membeli-belah. Musim perayaan yang semakin dekat ini juga sudah tentu akan menambahkan “jualan” yang lebih banyak.
Cuba anda fikirkan, adakah dengan adanya musim jualan hebat ini, anda sebenarnya telah berjimat atau berbelanja lebih? Menurut laporan sebuah akhbar pada 17 Ogos 2010, Karnival Jualan Mega di Malaysia telah mencapai peningkatan sebanyak 37% dalam penggunaan kad kredit Masterkad. Jumlah perbelanjaan kad kredit Masterkad oleh pengguna Malaysia dalam musim karnival ialah RM 213.4 juta berbanding RM 158 juta pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 34%. Statistik ini tidak merangkumi golongan yang menggunakan kad kredit yang lain dan yang membayar dengan wang tunai.
Mengapakah penggunaan kad kredit meningkat? Selain daripada pengguna menggunakan wang masa depan mereka, strategi syarikat kad kredit juga memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan penggunaan kad kredit dalam musim jualan hebat.
Dalam tempoh jualan mega ini, kebanyakan pusat membeli-belah akan mengadakan pelbagai pertandingan untuk menggalakkan pengguna berbelanja lebih. Baru-baru ini, pusat membeli-belah The Curve telah mengadakan satu pertandingan jualan mega yang menawarkan sebuah kereta mewah sebagai hadiah utama. Untuk menyertai pertandingan tersebut, anda perlu membelanjakan wang sekurang-kurangnya RM50 dengan menggunakan kad kredit untuk melayakkan anda untuk satu penyertaan.
Jika anda merupakan pengguna kad kredit Citibank, anda akan layak untuk dua penyertaan. Bagi mereka yang membayar dengan wang tunai, mereka tidak layak untuk menyertai pertandingan tersebut. Aktiviti seperti ini sudah tentu akan menggalakkan pengguna berbelanja lebih dengan menggunakan kad kredit mereka. Sebenarnya bukan satu kesalahan untuk menggunakan kad kredit jika anda dapat menguruskan kad kredit anda dengan baik. Tetapi, adakah rakyat Malaysia menguruskan kredit mereka dengan baik?
Menurut laporan akhbar pada 24 Julai 2010, terdapat sebanyak 38,357 golongan muda yang berumur antara 25 hingga 44 diisytiharkan sebagai muflis dalam tempoh 65 bulan sehingga bulan Mei lepas. Ini bermaksud pada setiap hari, terdapat 41 orang diisytiharkan kmuflis yang disebabkan oleh kegagalan mengurus pinjaman sewa beli, pinjaman peribadi dan kad kredit.
Satu lagi statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara menyatakan bahawa daripada hutang kad kredit sebanyak RM24.4 billion oleh 10 juta pengguna kad kredit di Malaysia, hanya 30% yangg membayar balik penuh setiap bulan. Pengguna telah terperangkap dalam hutang kad kredit kerana mereka hanya membayar balik bayaran minimum bil bulanan mereka. Statistik tersebut telah menunjukkan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda tidak menguruskan kewangan mereka dengan baik.
Kerajaan telah mengambil langkah untuk mengawal penggunaan kad kredit dalam kalangan pengguna dengan mengenakan cukai ke atas setiap kad kredit yang dimiliki oleh seseorang. Ini telah menyebabkan bilangan kad kredit yang dimiliki oleh seseorang telah berkurangan. Tetapi, langkah ini dianggap tidak mencukupi. Syarikat kad kredit telah menawarkan potongan cukai kad kredit dengan menggunakan mata ganjaran yang terdapat pada kad, atau dengan melihat perbelanjaan kad kredit bulanan seseorang. Cukai kad kredit tidak memberi kesan yang sepatutnya.
Syarat-syarat minimum untuk memohon kad kredit ialah berumur 21 tahun dan ke atas dengan gaji bulanan sebanyak RM 1,500. Gaji minimum untuk memohon kad kredit patut dikaji semula kerana inflasi telah menyebabkan had tersebut menjadi rendah. Ia juga menyebabkan pengguna tidak dapat bayar balik apa yang mereka belanja dengan kad kredit mereka. Bilangan kad kredit yang dimiliki oleh seseorang juga perlu dihadkan. Syarat-syarat untuk memohon kad kredit patut diketatkan. Hanya mereka yang berlayak sahaja dapat memiliki kad kredit. Strategi pemasaran syarikat kredit juga hendaklah dipantau. Roadshow dan hadiah eksklusif yang banyak ditawari sudah tentu akan menggalakkan pengguna untuk memohon lebih banyak kad kredit.
Kebanyakan syarikat kad kredit tidak mendidik pengguna cara mengira bil dan jenis caj yang akan dikenakan jika mereka tidak membayar balik hutang mereka pada masa yang ditentukan atau jika mereka tidak membayar penuh. Pengeluar kad kredit patut menerangkan kepada pengguna tentang caj dan faedah cara yang mudah difahami semasa pengguna memohon kad kredit.
Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)