Terdapat peniaga yang mengetuk pintu rumah anda untuk menjual produk mereka dengan menggunakan bahasa yang manis, kelihatan ikhlas dan sangat meyakinkan. Namun terdapat juga kegiatan tidak beretika yang dilakukan oleh jurujual seperti ini, contohnya  jualan paksaan, kontrak yang tidak adil, harga berlebihan atau penyelenggaraan dan pembaikan rumah yang lebih rendah daripada standard yang ditetapkan, tinjauan palsu kepada pengguna dan kutipan derma palsu.

Apa yang perlu dilakukan oleh peniaga?

  1. • Menunjukkan identiti peribadi dan pihak yang diwakili.
  2. • Menyatakan dengan jelas dari luar rumah sekiranya mereka menjual sesuatu.
  3. • Menyertakan maklumat bertulis mengenai tempoh bertenang dan hak pembatalan pembelian.
  4. • Tidak memaksa untuk menjual barang atau perkhidmatan.
  5. • Tidak meminta pengguna membuat keputusan serta merta.
  6. • Pergi sebaik sahaja diminta oleh pengguna.

Bagaimana untuk melindungi diri anda?

Katakan “Tidak”.  Contohnya:


  1. • Katakan anda tidak akan membeli produk atau perkhidmatan secara jualan langsung sebelum penjual memasuki rumah melainkan anda betul-betul berminat.
  2. • Katakan anda memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan pembelian.
  3. • Katakan anda mahu membandingkan harga dengan peniaga lain.
  4. • Katakan  anda perlu berbincang dengan orang lain sebelum membeli (contoh: keluarga atau rakan yang dipercayai).


Fikir Dahulu. Contohnya:

  1. • Adakah anda rasa selamat sekiranya membenarkan penjual yang tidak dikenali memasuki rumah anda?
  2. • Adakah anda berada di bawah tekanan sebelum membuat keputusan?
  3. • Adakah anda merasa emosi anda dipergunakan atau dimanipulasi (contohnya: diri anda menjadi topik dalam cerita yang direka penjual kepada pengguna lain)?
  4. • Adakah anda mengetahu kos keseluruhan pembelian (penghantaran, ansuran dan kos tersembunyi lain)?
  5. • Bagaimana anda membanding harga bagi produk atau perkhidmatan yang sama?
  6. • Adakah anda mengetahui dan sedar kesan yang akan anda terima sekiranya menandatangan kontrak jual beli tersebut?
  7. • Adakah anda mengetahui perjanjian perkhidmatan selepas jualan (seperti jaminan dan waranti)?


Pastikan sebelum membeli. Contohnya:


  1. • Adakah penjual mengenalkan dirinya dan syarikat untuk memuaskan hati anda? (Catatkan maklumat peribadi dan jangan merasa tertekan sehingga membuat keputusan serta-merta. Anda boleh memeriksa maklumat tersebut melalui direktori telefon atau menghubungi pihak berkuasa berkaitan perdagangan untuk memeriksa mengenai syarikat tersebut)
  2. • Adakah penjual menarik perhatian anda dengan soalan-soalan yang mengelirukan (contohnya mengaku menjalankan kajian atau mewakili badan-badan kebajikan)?
  3. • Adakah penjual menawarkan harga istimewa (seperti promosi pada hari tersebut sahaja) supaya anda bersetuju untuk membeli produk pada hari tersebut?
  4. • Adakah penjual menawarkan sesuatu yang anda mahukan atau perlukan?
  5. • Adakah penjual tersebut membangkitkan syak wasangka mengenai dirinya, kaedah atau motif yang digunakan?
  6. • Buat keputusan. Hanya jika anda berpuas hati bahawa transaksi boleh dipercayai dan tidak mendatangkan keburukan kepada anda, barulah anda boleh membuat pembelian.


Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)