Ramai pengguna mengadu bahawa surat pemberitahuan lelong oleh pajak gadai tidak diterima. Lelong dibuat sekiranya penggadai gagal menebus barang gadaian mereka pada tarikh yang ditetapkan.
Apabila hal ini dirujuk kepada pajak gadai, pihak pajak gadai akan menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menghantar surat pemberitahuan tersebut secara pos berdaftar.
Ini menimbulkan kehairanan kepada penggadai kerana mereka sering menerima surat peringatan daripada pajak gadai supaya membuat bayaran bulanan. Jika surat pemberitahuan lelong dihantar menggunakan pos berdaftar, posman akan meletakkan kad yang berwarna kuning di dalam peti surat sebagai peringatan untuk mengambil surat tersebut sekiranya pemilik rumah tiada di rumah. Namun surat peringatan daripada pihak pos tidak diterima oleh penggadai.
Terdapat juga aduan yang diterima mengatakan bahawa tandatangan yang terdapat pada kad pengesahan penerimaan pos berdaftar yang ditunjukkan oleh pihak pajak gadai, sebagai bukti penerimaan, adalah berbeza daripada tandatangan penggadai sendiri.
Untuk mengelakkan situasi seperti yang dinyatakan di atas daripada berlaku, penggadai hendaklah menebus barang kemas mereka pada tempoh yang ditetapkan. Jika mereka ingin melanjutkan masa penebusan, maka penggadai hendaklah memberitahu p kepada pihak pajak gadai.
Jika pengguna tidak mengambil berat terhadap tarikh penebusan, maka dikhuatiri barang kemas mereka akan hilang.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)