Pelbagai kaedah yang digunakan untuk mempedayakan pengguna. Terkini, wujudnya pihak tertentu yang menghubungi pengguna untuk menawarkan kad diskaun. Pengguna yang dipanggil itu, akan diberikan kata-kata manis, bahawa mereka merupakan golongan terpilih untuk menerima kad diskaun yang istimewa itu. 

Biasanya pengguna akan menerima panggilan tersebut ketika mereka dalam keadaan sibuk bekerja. Pemanggil yang menghubungi pengguna tersebut beberapa kali.  Pengguna akan dimaklumkan beliau adalah pemilik kad kredit daripada bank tertentu.

Oleh kerana beliau mempunyai rekod pembayaran kad kredit yang baik, maka beliau ditawarkan kad diskaun istimewa. Pemilik kad diskaun akan diberikan pelbagai tawaran menarik, antaranya, pakej percutian dan penginapan  di hotel terpilih di seluruh Malaysia  dengan diskaun sebanyak 50%, pakej umrah dengan diskaun 50% dan juga platinum VVIP.


Untuk memilik kad diskaun tersebut, pengguna hanya perlu membayar sebanyak 5RM599 untuk seumur hidup.   Tawaran tersebut juga boleh digunakan pada cuti umum dan cuti sekolah. Bagi mempengaruhi pengguna, pemanggil akan memujuk pengguna dengan kata-kata bahawa pengguna tidak akan mengalami kerugian jika memiliki kad diskaun tersebut. Dengan menyertai beberapa pakej yang ditawarkan, pengguna akan menikmati nilai wang yang telah dibayar itu.

Biasanya pengguna tidak diberikan masa yang panjang untuk membuat keputusan bagi mendapatkan kad diskaun itu. Pengguna dimaklumkan pembayaran akan dibuat melalui kad kredit.  Akibat daripada terpedaya dengan pujukan dan tawaran yang dikatakan menarik itu, pengguna bersetuju menerima kad diskaun itu. Seterusnya beliau akan memberikan butiran kad kredit, termasuk nombor tiga digit yang terdapat di belakang kad kredit. Setelah selesai proses pembayaran, pengguna dimaklumkan bahawa kad diskaun akan diserahkan dalam tempoh dua minggu.

Setelah menerima kad diskaun dan membaca terma dan syarat, baharulah pengguna tersebut menyedari bahawa beliau tertipu. Apabila syarikat yang mengeluarkan kad diskaun itu dihubungi, pelbagai alasan yang diberikan. 

Oleh itu , pengguna hendaklah berhati-hati apabila menerima panggilan seumpama ini. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis dan tawaran kad diskaun tersebut. Selain daripada tidak menikmati apa yang ditawarkan, anda hanya akan menambah hutang kad kredit anda sahaja.  

Norli Baharin
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional  (NCCC)