Memorandum ini meliputi maklumbalas FOMCA ke atas Cadangan Sikm Perlindungan Insurans Motor bagi Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga untuk pertimbangan pihak tuan dalam perencanaan Perlindungan Insurans Motor Pihak Ketiga yang mantap. FOMCA dijemput menghadiri taklimat oleh BNM pada 15hb April 2010 berhubung Cadangan Sikm Perlindungan Insurans Motor bagi Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga.

1. Tajuk 
Perlindungan Insurans Motor Asas bagi Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga membawa tanggapan bahawa perlindungan adalah asas dan mungkin tidak memberi perlindungan yang mencukupi kepada pengguna dan juga kepada pihak insuran untuk tidak menepati satu asas perlindungan yang wajar. Oleh yang demikian adalah dicadangkan supaya perkataan Asas digantikan dengan Standard untuk merujuk kepada perlindungan insuran motor pihak ketiga ini. 

2. Komponen-komponen Perlindungan Insuran Pihak Ketiga 
Perlindungan Insuran Motor Pihak Ketiga meliputi,

− perlindungan harta pihak ketiga
− perlindungan kecederaan anggota dan kematian pihak ketiga (TPBID)

3. Masalah-Masalah Tuntutan Insuran Pihak Ketiga 
Kadar premium tidak dikaji seiringan dengan kos perlindungan yang telah meningkat sejak 1978 bila kali terakhir kadar dikajisemula.

Tuntutan perlindungan Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga pada tahun 2008 adalah 2.67 kali ganda daripada premium yang dikutip.

Tuntutan perlindungan Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga juga mengambil masa yang terlalu lama untuk dilunaskan oleh pihak syarikat insuran.

Berdasarkan perangkaan BNM, terdapat 10.8 juta polisi insuran motor dan takaful motor pada tahun 2009. Pada tahun yang sama, pihak Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) yang ditugaskan untuk menyediakan polisi insuran motor telah mengeluarkan 102,816 polisi yang merupakan kurang dari 1% daripada keseluruhan pemegang polisi insuran motor di negara ini. 

Penglibatan pihak peguam dalam pertikaian tuntutan perlindungan Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga menimbulkan masalah kelewatan keputusan pihak syarikat insuran yang pertikaikan kadar-kadar yang dituntut.

Penglibatan pihak peguam yang juga terlibat secara langsung membiayai keperluan awal pihak-pihak menuntut sambil menunggu kelulusan tuntutan mengwujudkan keadaan yang tidak sihat bila kadar tuntutan diluluskan/diputuskan tidak dapat meliputi tuntutan yuran guaman yang serta bayaran pendahuluan yang diberikan oleh peguam.

Proses tuntutan kerosakan harta pihak ketiga tidak diuruskan secara telus dan bertanggungjawab sepertimana diuruskan ke atas tuntutan insuran komprehensif di bawah pangkalandata Motordata Research Consortium Sdn Bhd (MTC) yang dilantik oleh Bank Negara Malaysia di bawah JPI/GPI Garis Panduan Amalan Peneyelsaian Tuntutan Insuran untuk mengawal fraud dan pengurusan risiko. 

4. Cadangan

a. PERLINDUNGAN KECEDERAAN ANGGOTA DAN KEMATIAN

Komponen perlindungan kecederaan anggota dan kematian (BID) dari insuran pihak ketiga dan komprehensif harus digabungkan dalam satu dana diuruskan oleh suatu badan berkanun (NewCorp) seperti PERKESO untuk memastikan semua pihak yang terlibat dalam kemalangan mendapat perlindungan serta merta dengan rawatan, pemulihan, latihan serta pencen ilat. Ini adalah penting ke atas menyatukan semua bentuk pembiayaan perkhidmatan kesihatan.

Semua tuntutan kecederaan anggota dan kematian harus ditujukan terus kepada NewCorp tanpa perlukan pihak ketiga.

Sebarang pertikaian ke atas keputusan tuntutan NewCorp dirujuk kepada Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) untuk pertimbangan atau pihak menuntut membawa tuntutan ke mahkamah.

b. PERLINDUNGAN HARTA PIHAK KETIGA

KENDALIKAN OLEH INDUSTRI 
Memandangkan bilangan pemegang insuran motor pihak ketiga adalah kurang dari 1% daripada keseluruhan pemegang polisi insuran motor dan dalam masa pihak kerajaan berusaha untuk mengurangkan semua bentuk subsidi dan campur-tangan kerajaan dalam pasaran adalah tidak wajar perkhidmatan perlindungan insuran pihak ketiga diambil-alih oleh pihak kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan.

Semua perkhidmatan perlindungan insuran motor harus dikelolakan oleh pihak industri dengan kadar premium ditentukan oleh pasaran. 

KADAR PREMIUM BERDAYAMAJU 

Dalam keadaan jurang perbezaan yang luas antara kos dan kadar premium, suatu program peralihan harus dirangka untuk jangka waktu dari 5 hingga 8 tahun untuk menyelaraskan kadar premium mencapai tahap yang berdaya maju dan mapan. Ini juga harus difahami dari aspek untuk meningkatkan tahap pendapatan pekerja kepada tahap tinggi menjelang 2020 sejajar dengan Model Ekonomi Baru (NEM). 

STRATEGI PERALIHAN KE MOD PENGANGKUTAN AWAM 
Peningkatan kadar pembiayaan harus dipandang seiringan dengan amalan sedunia untuk mengurangkan penggunaan motorsikal (42% insuran motor pihak ketiga) di kalangan masyarakat yang menimbulkan beban kos kesihatan tambahan melebihi faedah mod perjalanan lain yang berkos rendah.

Strategi ini juga selaras dengan perancangan untuk meluput kenderaan-kenderaan lama atas dasar mengurangkan pencemaran dan penjimatan tenaga serta komitmen negara untuk menggalakan penggunaan mod pengangkutan awam sehingga 25% di kawasan perbandaran. 

SISTEM KAWALAN FRAUD DAN PENGURUSAN RISIKO 

Kejadian fraud juga merupakan satu daripada beban sektor ini menghadapi yang mencacatkan keadaan sebenar kos perlindungan insuran motor pihak ketiga. Suatu sistem kalawan fraud dan pengurusan risiko meliputi semua rantaian pembekal automotif, bengkel-bengkel kereta, pihak penyelaras kerugian (adjuster) dan syarikat-syarikat insuran serta JPJ, Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mungkin dengan digabungkan dengan Pusat Pemerosesan Tuntutan MRC untuk memendekkan tempoh perlaksanaan.

Kami berharap satu tindakan mantap dan progresif dapat dirumuskan ke arah penyelesaian jangka panjang dengan mengambil kira strategi dan komitmen kerajaan dalam mengurangkan keterlibatan dalam aktiviti berbentuk komersil dan mengutamakan perkhidmatan sosial yang kritikal dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju. 

Dibentangkan oleh, 
MUHAMMAD SHA'ANI BIN ABDULLAH AMP Setiausaha Agung 
GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA (FOMCA)