Harga Padi: Pesawah masih dapat RM1,700 per tanSUNGAI PETANI - Peningkatan kos penanaman di samping penurunan harga belian padi oleh pengilang kepada RM1,250 per tan memberi tekanan kepada golongan petani di seluruh negara.

Petani dari Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda, Zulkefli Ismail, 64, berkata, penurunan harga yang berlaku secara mendadak berbanding harga belian padi sebanyak RM1,700 per tan sebelum ini menyebabkan kebanyakan petani tidak berpuas hati memandangkan tempoh menuai masih belum tamat.

Menurutnya, selama ini petani terpaksa menanggung pelbagai kos lain termasuk sewa jentera, pembajakan dan padi benih yang meningkat termasuk peningkatan sara hidup menyebabkan kebanyakan petani semakin tertekan.

"Kebanyakan petani bergantung sepenuhnya kepada hasil penanaman padi untuk menyara keluarga. Apabila harga belian menurun, kos tanaman tinggi, bagaimana nasib kami?" katanya.

Beliau antara kira-kira 70 petani yang hadir mengadakan piket aman akibat tidak berpuas hati dengan penurunan harga belian padi serta kos penanaman yang membebankan di Kawasan Kota Dua, Kota Kuala Muda di sini pada Isnin.


Seorang lagi petani dari Kampung Bukit Meriam, Mohd Fazirul Ismail, 39, berkata, dengan harga belian padi RM1,250 per tan ditambah insentif subsidi harga padi sebanyak RM500, petani hanya memperolehi RM1,750 untuk satu tan.

Bagaimanapun, dengan mengambil kira kos-kos lain, mereka mendapat keuntungan sekitar RM200 per tan sahaja.

"Jika kerajaan boleh kekalkan subsidi RM500 dan juga harga belian RM1,700, pendapatan petani akan jadi RM2,200 untuk satu tan dan kami boleh dapat keuntungan sebanyak kira-kira RM600 per tan, baru kami rasa lega sikit," katanya.

Beliau dalam masa sama meminta agar kerajaan memberi perhatian lebih dalam isu penyelenggaraan sistem pengairan kepada petak sawah di luar kawasan Lembaga Pertanian Kemajuan Muda (MADA).

"Sekarang dah nak masuk 2024, sistem pengairan masih duk macam tu juga, kita duk di luar MADA, jadi masalah air sering kali dibangkitkan.

"Lagi satu masalah ialah padi benih yang ditetapkan harga siling RM31 satu guni 20 kilogram...sampai ke petani jadi RM35, sekarang kita dengar naik sampai RM55 satu guni, petani nak buat macam mana?

"Ditambah kos jentera lagi, racun dan lain-lain, petani nak dapat apa?" jelasnya.

Difahamkan, terdapat sejumlah 1,200 petani yang mengusahakan kira-kira 1,800 hektar sawah padi di Kota Dua berdepan masalah pengairan sehingga menjejaskan pengeluaran dan kualiti padi yang dihasilkan, menambah beban dan tekanan kerana perlu mengeluarkan lebih banyak modal.

Ketua Unit Peladang Sungai Emas, Mohd Yatim Ismail, 64, mengakui sistem pelepasan air ke petak sawah tidak selaras dengan peringkat penanaman padi yang diusahakan petani.

"Kawasan yang perlukan air tidak terima, di kawasan lain pula dilepaskan air secara berlebihan... contoh di Kampung Telok Amboi, padi tak boleh ambil... disebabkan masalah air, dah dibuat jadual tetapi pelepasan tak ikut jadual, kesannya padi rosak," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan, Badron Hisham Bahari menjelaskan, keluhan petani berhubung kenaikan kos penanaman dan penurunan harga belian padi perlu diberi perhatian oleh kerajaan serta ditangani sewajarnya.

"Kos sara hidup dan kos pengurusan sawah padi meningkat dengan kira-kira hasil diperolehi sebanyak empat tan per hektar, rasanya tak balik modal.

"Bagi petani di kawasan Kota Dua, mereka memerlukan perhatian dari segi infrastruktur termasuk penyelenggaraan sistem pengairan dalam usaha menghasilkan padi berkualiti," katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan meneliti benih padi yang didakwa tidak menepati piawaian ditetapkan.

"Ikut pemahaman saya kuota yang diberi kerajaan kepada kontraktor yang membekalkan padi benih tidak mencapai piawaian kerana didakwa tidak berkualiti... lempar padi benih tak naik (menjadi).

"Buka guni ada hampas dan daun pun ada, menyusahkan petani kerana mereka mengerjakan sawah padi sebagai pendapatan utama, kena keluarkan modal tambahan pula," katanya.

Beliau berharap agar keluhan petani mendapat reaksi positif kerajaan dalam usaha meningkatkan penghasilan padi yang merupakan makanan asas negara.