Kebimbangan terhadap kenaikan harga rumah semakin meningkat. Menurut Laporan Pasaran Harta  2014, harga purata rumah di negara ini meningkat RM30,000 daripada RM266,304 pada tahun 2013 kepada RM295,345 pada akhir tahun 2014. Sebanyak 250,000 transaksi pembelian rumah dilakukan tahun lalu bernilai RM82.06 bilion. Justeru, kerajaan menyasarkan 653,000 unit rumah mampu  milik akan dibina pada Rancangan Malaysia Ke-11(RMKe-11).

Merujuk kepada jumlah hutang isi rumah pula, ada peningkatan kepada 87.9 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu. Pada masa sama, berlaku penurunan kadar tabungan kasar negara kepada 29.8 peratus daripada KDNK dalam tempoh yang sama.

 

Hal ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan tersasar dan kemungkinan berlakunya pembaziran. Dijangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih perlahan sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini, memberi isyarat bahawa pengguna perlu berhati-hati dalam aspek perbelanjaan harian.

Hutang Pendidikan Jadi Krisis Global

Kebimbangan terhadap hutang pendidikan juga dikatakan bakal menjadi krisis global pada  masa akan dating. Ia diakui Biro Perkhidmatan Kewangan Pengguna Amerika Syarikat bahawa rakyat Amerika berhutang sekurang-kurangnya AS$1,000 (RM3,600) bagi pinjaman pelajaran.

Situasi sama juga mungkin berlaku kepada pelajar universiti awam dan swasta tempatan yang menamatkan pelajaran ba kal berhadapan dengan komitmen bayaran  balik pinjaman. Ia belum ambil kira kos pendidikan bermula seawal umur empat hingga enam tahun. Ibu bapa muda perlu memperuntukkan sebahagian kos bagi pendidikan awal anak.

Sekiranya ibu bapa memilih pendidikan awal swasta, mereka terpaksa membayar yuran tahunan, kos bahan pendidikan, pakaian seragam, yuran aktiviti dan yuran bulanan sekurang-kurangnya RM300 hingga RM800 sebulan. Ini memerlukan ibu bapa  merancang persediaan kewangan untuk pendidikan anak.

Kadar kebankrapan belia berumur 25 tahun dan ke bawah juga semakin membimbangkan. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 1,150 kes dilaporkan antara tahun 2011 hingga Januari lalu, membabitkan belia berumur 25 tahun ke bawah. Kes tertinggi dilaporkan adalah pinjaman kenderaan (41.7 peratus) diikuti pinjaman peribadi (18.61 peratus) dan pinjaman rumah kediaman (17.79 peratus). 

Kawalan Diri Sangat Lemah

Hal ini menunjukkan kawalan diri terhadap kewangan sangat lemah. Kebanyakan mereka berbelanja melebihi pendapatan. Mereka juga masih tidak mampu membezakan antara keutamaan dan kehendak.

Di samping itu, mereka juga tidak peduli dengan tunggakan hutang dan tidak mendapatkan khidmat nasihat perunding kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dalam gelombang pelaksanaan GST, rata-rata masyarakat masih gemar berbelanja. Tidak dinafikan, ada yang bijak mengawal perbelanjaan peribadi dan begitu juga sebaliknya. Menurut Penganalisis Ekonomi, kecenderungan pengguna berbelanja dinilai kepada Marginal Propensity to Consume (MPC).

MPC bagi Malaysia ialah 0.52. yang menunjukkan setiap ringgit kenaikan pendapatan akan menghasilkan perbelanjaan 0.52 sen. Dibandingkan angka MPC dengan negara Asia lain, maka Malaysia dalam kedudukan tinggi. Dari sudut ekonomi, ia dilihat dalam sudut positif dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Perancangan masyarakat untuk dana persaraan tidak membanggakan. Sebanyak 68 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000 dan 50 peratus bekas ahli KWSP menghabiskan simpanan dalam tempoh lima tahun.

Hal ini diukur dengan jangka hayat rakyat Malaysia menjangkau sehingga usia 78 tahun. Oleh itu, perancangan persaraan perlu dirancang sewal usia 30-an lagi. Hal ini ditambah pula dengan kos perubatan yang semakin tinggi.

Oleh itu, menabung perlu dilakukan bagi mengatasi keperluan kewangan mendesak ini. Tabungan tidak merugikan meskipun pada awalnya, mungkin ia menyebabkan seseorang itu berasa tertekan kerana perlu berjimat dalam beberapa perkara perbelanjaan yang menjadi kelaziman.

Jika dinilai semula faktor seperti bebanan hutang, peningkatan kos sara hidup, persediaan belian aset, persaraan dan simpanan ketika kecemasan, maka ia memerlukan perancangan kewangan bijak. Oleh itu, pengguna perlu meningkatkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan agar kehidupan mereka lebih terjamin pada masa akan datang. 

PRESIDEN GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA (FOMCA)

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Selasa, 26 Mei 2015)