Hampir setiap tahun menjelang musim perayaan, majikan akan membayar gaji awal sebagai tanda keprihatinan majikan kepada pekerja.

Namun, pembayaran gaji awal ini boleh menjadi perangkap kepada pengguna sekiranya mereka tidak menguruskan dengan baik.

 

Lebih-lebih lagi, sejak kebelakangan ini, musim perayaan seolah-olah dijadikan umpan kepada peniaga untuk menawarkan pelbagai promosi dan tawaran harga menarik untuk sesuatu pembelian sehingga boleh menyebabkan pengguna terperangkap membeli.

Barangkali juga tanpa disedari, ramai yang membuat ‘hutang baru’ lantaran terpegun dengan promosi ditawarkan peniaga.

Pakar kewangan pengguna dari Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata pengguna membuat ‘hutang baharu’ apabila membuat belian terhadap barangan tertentu ditawarkan pada musim perayaan yang boleh dibeli secara berhutang dan lazimnya, ia bukan keperluan.

 

Momokan Pinjaman

“Pelbagai tawaran harga menarik diberikan kepada pelanggan dan ia bukan saja kepada barangan, tetapi perkhidmatan. Apabila kita membeli, barangkali kita boleh terlebih belanja, seterusnya akan terperangkap dengan hutang baharu,” katanya mengulas mengenai pemberian gaji awal pada musim tertentu, khususnya musim perayaan.

Mohamad Fazli berkata, ada segelintir yang sanggup membuat hutang baharu semata-mata ingin memenuhi selera dan nafsu pada musim perayaan yang turut dimeriahkan dengan aneka promosi jualan murah.

Katanya, keadaan itu hakikatnya, membimbangkan kerana menjelang musim perayaan, diperhatikan banyak pinjaman peribadi yang ditawarkan.

Ini termasuk, oleh institusi kewangan yang sah dan berdaftar serta pinjaman peribadi ditawarkan oleh agensi dan syarikat tidak sah dan berdaftar atau yang menyalahgunakan lesen juga tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan alasan mereka menyediakan kemudahan pinjaman kewangan bagi mereka memerlukan.

“Masyarakat dimomok dengan pelbagai strategi pengiklanan bagi menarik pengguna untuk mendapatkan pinjaman peribadi, antaranya kadar faedah yang rendah, kelulusan 100 peratus, pelan bayaran yang fleksibel, tempoh kelulusan dalam masa 24 jam dan pelbagai hadiah sampingan lain lagi, katanya.

Mengulas mengenai kelebihan bayaran gaji awal, Mohamad Fazli berkata, secara peribadi beliau kurang bersetuju mengenai hal berkenaan, sebaliknya menyarankan supaya majikan membayar separuh  daripada keseluruhan gaji pekerja sebagai satu usaha mengelakkan pengguna daripada ‘galak’ berbelanja.

Katanya, psikologi manusia selalunya alpa melihat duit banyak di dalam akaun masing-masing.

“Psikologi manusia memang begitu. Apabila melihat jumlah wang yang banyak dalam akaun, mereka akan lebih ‘galak’ berbelanja hingga terlupa mengenai keperluan lain termasuk hutang atau bayaran tertentu yang perlu dilunaskan,” katanya.

 

Perlu Seimbang

Mohamad Fazli berkata, lumrah untuk berbelanja besar pada musim perayaan, namun itu bukanlah alasan untuk menutup mata dalam membuat simpanan.

“Kita mungkin boleh mengeluarkan wang gaji itu dan dialihkan ke akaun lain untuk menyelamatkannya daripada digunakan,” katanya.

Beliau berkata, antara kesilapan kebanyakan masyarakat ialah mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat keperluan dan kepentingan untuk perbelanjaan masa hadapan.

Persoalannya, kenapa harus mengikat perut dan bersusah payah selepas musim perayaan hanya kerana semua perbelanjaan terarah kepada persiapan menyambut perayaan.

“Kita tidak boleh salahkan peniaga, pusat beli belah dan iklan semata-mata sekiranya kita sendiri yang tidak mempunyai perancangan serta persiapan terutama dari aspek kewangan.

“Masyarakat kita sendiri perlu berubah terutama dari segi gaya hidup dan cara berbelanja,” katanya.

 

Belum Terlewat Rancang Bajet

Membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan tetapi yang menjadi masalah adalah masyarakat tidak membuat perancangan kewangan.

Mohamad Fazli berkata, ramai pengguna tidak menyediakan perancangan kewangan.

 

Penting Sedia Bajet

“Keadaan ini berlaku kerana pengetahuan mengenai kepentingan menyediakan bajet memang ada, tetapi perlaksanaan atau amalan masih lagi rendah kerana kita tidak memiliki kemahiran mengenainya,” katanya.

Menyifatkan tiada istilah terlambat dalam mengurus perbelanjaan, katanya, kesilapan dan kelemahan dalam bajet tahun sebelum ini harus dielak dan perlu diperbaiki.

“Sekiranya tidak mempunyai bajet pada tahun lalu, masih tidak terlewat untuk disediakan bajet untuk tahun ini dan tahun berikutnya,” katanya.

 

Prof. Madya Dr Mohamad Fazli Sabri

Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Sumber : Berita Harian - Famili - (23 November 2015, Isnin)