Generasi sekarang kini kelihatan jelas mengamalkan gaya hidup berhutang semata-mata untuk dilihat hidup dalam kemewahan. Mereka bukan sahaja terpengaruh dengan rakan-rakan tetapi juga saling berlumba-lumba untuk menonjolkan kemewahan material yang mereka miliki.
Saban hari mereka memperagakan baju, kasut dan gajet terbaharu semata-mata mahu dipandang tinggi oleh rakan-rakan dan orang lain. Akibatnya mereka bukan sahaja gagal untuk menguruskan hutang yang dibuat tetapi juga menyebabkan perbelanjaan harian mereka tidak teratur.
Golongan belia yang dikenali sebagai Generasi Y ini tidak lagi memikirkan soal setakat mana pendapatan mereka mampu untuk menampung perbelanjaan mereka. Apa yang dipentingkan adalah kemewahan yang mereka tonjolkan kepada umum.
Natijahnya selepas pernbayaran semua hutang termasuk ansuran kereta, rumah dan insurans kesihatan, bil air, bil elektrik dan sebagainya, pendapatan bulanan mereka habis begitu sahaja tanpa sempat untuk membuat penyimpanan.
Adalahjelas kelompok anak muda ini tidak merancang perbelanjaan mereka. Mereka membeli barangan mewah yang sebenarnya tidak mereka perlukan. Bahayanya mereka menggunakan wang pinjaman untuk memperoleh kesemua kemewahan tersebut.
Sebenarnya membuat pinjaman bukanlah satu keburukan namun ia perlu dilakukan secara berhemat. Pengetahuan mengenai soal pinjaman perlu ada demi mengelakkan daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan pendapatan bulanan.
Sebagai contoh pembelian kereta memang lazimnya dilakukan secara pinjaman bank. Justeru pengguna perlu menentukan ansuran bulanan sewa beli kenderaan tersebut, kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu dari segi perbelanjaan untuk minyak, tol, kos penyelenggaraan dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.
Selain bebanan hutang kos sara hidup yang bertambah disebabkan kenaikan harga barangan setiap tahun turut menyumbang kepada masalah kewangan golongan muda yang sedia terbeban akibat gaya hidup boros dan kerana ingin kelihatan mewah.
Apa yang penting adalah seseorang individu perlu bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing. Jika mereka tersalah langkah mereka akan terjerumus dalam perangkap muflis.
Kajian menunjukkan individu yang memiliki tunggakan hutang lebih tiga bulan berada dalam kumpulan pertama mempunyai bebanan hutang paling serius. Ini diikuti kumpulan yang mempunyai lebih daripada empat jenis hutang dan seterusnya yang terpaksa menggunakan 50 peratus pendapatan bulanan mereka untuk membayar hutang dan akhir sekali yang menggunakan 25 peratus pendapatan bulanan mereka untuk melangsaikan hutang.
Sebahagian besar Generasi Y sekurang-kurangnya berada dalam empat kelompok berkenaan.
Justeru langkah peringkat awal perlu diambil bagi mengatasi ketagihan hutang dalam kalangan generasi muda. Misalnya pengurusan kewangan perlu diperkenalkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Silibus yang diajar di sekolah pada masa kini dilihat kurang menyentuh mengenai pengurusan kewangan yang betul dan tepat.
Apabila individu didedahkan dengan pengurusan kewangan yang betul sejak dari kecil pastinya mereka boleh bertindak dengan bijak seperti membuat penyimpanan, membeli barangan yang perlu sahaja, apabila mendapat gaji pembayaran bil dan hutang dilakukan terlebih dahulu.
Mereka juga akan belajar untuk merancang segala perbelanjaan yang ditulis terlebih dahulu. Perbelanjaan berhemat ini mampu mengelakkan seseorang daripada berbelanja mewah dan membuat pinjaman.
Antara masalah terbesar golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit. Mereka yang mempunyai tabiat berbelanja dengan boros seharusnya sama sekali mengelakkan daripada memiliki kad kredit yang akan menambahkan hutang tanpa disedari.
Bagi yang beragama Islam pula, sentiasa mengingatkan bahawa amalan berhutang bakal memberikan kesusahan pada waktu malam dan menjadi satu penghinaan ketika siang. Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah agar sentiasa terhindar daripada berhutang.
Kesimpulannya golongan muda perlu mengubah gaya hidup yang mahu menonjolkan kemewahan sebaliknya beristiqamah dalam menguruskan pendapatan bulanan.
Sumber : Berita Harian – 5 April 2016 (Selasa), Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@ hotmail. com dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).