PETALING JAYA: Barangan tempatan dipercayai tidak akan terjejas teruk sekalipun pengurangan permit diluluskan (AP) dan permit import (IP) membawa kepada lambakan barangan import yang lebih murah, menurut pakar ekonomi.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata barangan tempatan mampu bersaing dengan barangan import yang lebih murah kelak atas dua sebab utama iaitu tarikan harga dan keperluan pengguna.
“Majoriti barangan tempatan sudah sedia murah berbanding barangan import. Pada masa sama, permintaan terhadap barangan tempatan juga sentiasa tinggi,” katanya kepada FMT.
Kementerian Ekonomi sedang membangunkan satu kertas dasar untuk mengkaji dan mencadangkan kepada kerajaan pengurangan AP dan IP membabitkan keseluruhan sektor, bertujuan menurunkan harga barangan.
Kertas dasar itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara seawal Oktober.
Menteri Rafizi Ramli turut akui terdapat ruang untuk memperbaiki peraturan anti-monopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih berdaya saing, sekaligus mendorong harga barangan dan perkhidmatan yang lebih berpatutan.
Sementara itu, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia percaya dasar itu sekiranya dilaksanakan akan mengurangkan sekatan-sekatan import.
“Ini akan membolehkan pergerakan barangan yang lebih bebas, dan secara langsung menjadikannya lebih murah untuk mengimport kategori barangan tersebut,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah pengurangan kos import akan turut memberi manfaat kepada pengilang berorientasikan eskport, yang perlu mengimport produk perantaraan dalam kuantiti yang banyak.
Shankaran bagaimanapun menambah produk domestik perlu menjadi lebih berdaya saing.
Sebelum ini, beberapa pengusaha restoran menyeru Rafizi supaya meneliti tanggungan peniaga secara menyeluruh berhubung harga makanan, termasuk harga barangan import seperti mentega, mayonis, dan rempah ratus.