Jun 26, 2022 @ 3:11pm
KUALA LUMPUR: Golongan muda di negara ini didapati bergantung kepada pinjaman peribadi dan kad kredit bagi menampung keperluan harian susulan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran inflasi dan kenaikan ketara harga barangan.
Ia berdasarkan analisis Experian Information Services (Malaysia) yang mendapati golongan berumur antara 22 hingga 28 tahun adalah mereka yang mempunyai kesukaran untuk membayar balik hutang kad kredit dan pinjaman peribadi masing-masing ketika ini.
Analisis Experian i-SCORE yang menggariskan trend skor dan kemudahan kredit rakyat Malaysia bagi tempoh 2019-2022 turut menunjukkan, jumlah pembayaran balik bagi segmen hutang tidak bercagar iaitu kad kredit dan pinjaman peribadi dalam kategori 90 hari atau lebih, yang membabitkan golongan umur berkenaan adalah tinggi iaitu sebanyak 26.4 peratus pada 2022.
"Peratusan itu mencerminkan bahawa 26 daripada 100 pengguna dalam kumpulan berumur 22 hingga 28 tahun itu menghadapi kesukaran untuk membayar balik dalam tempoh 90 hari selepas pembayaran mereka perlu dibayar.
"Jumlah itu juga dilihat lebih tinggi berbanding purata 9.1 peratus rakyat Malaysia melepasi tempoh 90 hari untuk pembayaran balik bagi talian kredit mereka pada 2022.
"Justeru, perhatian perlu diberikan kepada golongan pengguna berumur 22 hingga 28 tahun. Jumlah pembayaran balik kredit tidak bercagar membabitkan kategori 90 hari atau lebih adalah tinggi dalam segmen ini dengan 26.4 peratus pada 2022," kata Experian.
Pengguna ambil langkah urus kredit berikutan kemelesetan ekonomi
Analisis terkini itu juga menunjukkan pengguna pelbagai peringkat umur mengambil langkah untuk mengurus portfolio kredit ketika kemelesetan ekonomi yang dicetuskan pandemik COVID-19.
Experian berkata, purata i-SCORE bagi lima kumpulan umur meningkat kepada 619 pada 2022 berbanding 602 pada 2019.
Ia berkata, perubahan data itu juga diambil kira daripada langkah dan kemudahan yang diumumkan kerajaan sebelum ini iaitu seperti moratorium bayaran balik pinjaman; pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta bantuan pembayaran dari Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS), yang mana sudah diperoleh oleh lebih 2.7 juta peminjam individu sepanjang separuh kedua tahun lalu.
Namun begitu, skim berkenaan sampai ke penghujung dan langkah sokongan fiskal Malaysia untuk pengguna akan menjadi berkurangan pada 2022.
"Pengguna juga menghadapi masalah kos sara hidup yang ketara disebabkan tekanan inflasi, peningkatan kos barangan keperluan serta kos pinjaman yang lebih tinggi. Oleh itu, sesetengah rakyat Malaysia mungkin berisiko mendapatkan pinjaman peribadi dan kad kredit untuk mengisi keperluan harian.
"Justeru, Experian berpendapat adalah sangat penting untuk mendidik golongan lebih muda mengenai cara mengurus kredit sepanjang hidup mereka, terutama dengan kewujudan lebih banyak pilihan kredit dalam talian pengguna baharu seperti Buy Now, Pay Later (BNPL) dan lain-lain," katanya.
Golongan muda perlu dididik urus kewangan peribadi
Bagi Gred Risiko Kredit untuk tempoh 2019 hingga 2022 yang meliputi pelbagai kumpulan umur, Experian berkata, terdapat trend peningkatan gred daripada yang lebih lemah kepada kedudukan yang lebih baik.
Gred Risiko Kredit terus menjadi lebih kukuh untuk kumpulan umur 36 hingga 50 tahun dengan enam peratus, dan 29 peratus daripada mereka yang berumur 51 tahun ke atas mempunyai gred risiko 'Kukuh', yang mana gred risiko yang kukuh membayangkan kadar lalai kurang satu peratus.
Secara keseluruhannya, ia menunjukkan bahawa apabila pengguna Malaysia semakin matang, mereka boleh menguruskan risiko kredit dengan lebih baik.
Ada kaedah untuk nilai kesihatan kredit individu
Sementara itu, Experian juga menjalankan kempen 'Uplift Your Score' bersama-sama Bulan Kesihatan Kredit Experian dari 1 hingga 30 Jun 2022 untuk meningkatkan kesedaran dan menekankan kepentingan kesihatan kredit yang baik dalam menguruskan kewangan peribadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services (Malaysia), Dawn Lai, berkata pihaknya percaya bahawa ekosistem peminjaman di Malaysia sedang berkembang pesat, justeru pengetahuan kewangan adalah kemahiran hidup asas yang perlu dipelajari oleh setiap pengguna.
Beliau berkata, dalam kerjasama dengan bank tradisional dan peminjam baharu, keupayaan pihaknya untuk memahami kemudahan kredit baharu itu ditambahkan dalam pangkalan data Bulan Kesihatan Kredit supaya rakyat Malaysia boleh mendapatkan alatan, pengetahuan dan pandangan yang tepat untuk mengurus portfolio kredit mereka dengan sebaik-baiknya bagi menghadapi cabaran kewangan di hadapan.
Experian menawarkan diskaun 50 peratus untuk semua produk dari 1 hingga 30 Jun 2022 dengan kod promosi 'EXPCHM22', yang merangkumi data Experian i-SCORE dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).