Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:21 AM
NAMPAKNYA tempoh moratorium sudah pun tamat pada 30 September lalu. Meskipun ia masih dilaksanakan secara bersasar, namun masih ada yang terkesan.
Lebih-lebih lagi, ketika ini berlaku gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang menyebabkan kita terpaksa 'dikurung' buat seketika di rumah di sesetengah negeri bagi memastikan penularannya dapat diminimumkan.
Mungkin, dalam menghadapi cabaran ini ada antara kita yang terkesan kerana tidak dapat menjana pendapat sampingan yang dahulunya mencukupkan aliran tunai setiap bulan bagi membuat bayaran ansuran rumah.
Sekiranya perkara itu berlaku, penasihat kewangan, Rohani Mohd Shahir berkata, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan kepada pemilik kediaman supaya tidak terus terbeban dengan bayaran ansuran pembiayaan dalam keadaan tidak menentu ketika ini antaranya, berbincang dengan pihak bank.
Katanya, pihak bank juga mahu mendapatkan wang mereka semula dan urusan rundingan itu boleh dilakukan dengan memohon memanjangkan tempoh moratorium.
"Jangan duduk berdiam diri sahaja jika pendapatan anda terkesan ketika ini akibat Covid-19. Anda boleh hubungi pihak bank dan meminta mereka untuk bantuan itu. Jika terus berdiam diri, pastinya aliran kewangan akan terkesan dan jika pihak bank mengambil tindakan undang-undang kerana anda gagal membuat pembayaran, risiko paling besar adalah pelelongan kediaman anda.
"Selain itu, anda juga boleh cuba memohon daripada pihak bank untuk membuat pembiayaan atau penstrukturan semula dan memanjangkan tempoh pembiayaan kerana ia dapat membantu mengurangkan ansuran bulanan kepada pihak bank," katanya.
Rohani menambah, mereka yang terkesan juga boleh mengambil langkah dengan menyewakan bilik di dalam rumah sendiri bagi tempoh masa yang pendek kepada orang yang dipercayai atau menggunakan sosial media platform untuk mempromosikannya.
"Tidak salah untuk melakukan langkah ini terutama jika anda tinggal seorang diri kerana hasil pendapatan itu boleh menyumbang untuk menampung komitmen bulanan kepada pihak bank dan mengurangkan bebanan anda.
"Lebih menarik jika kediaman anda sudah lengkap dengan pelbagai kemudahan, harga sewaan juga boleh dikenakan sesuai dengannya. Bagaimanapun, untuk mencari penyewa bilik harus berhati-hati dan peka dengan keselamatan diri serta harta benda," katanya.
Katanya, menyewa rumah dengan kadar sewa yang lebih rendah daripada komitmen bayaran kepada pihak bank juga boleh dilakukan sebagai salah satu langkah kepada mereka yang masih tidak dapat membayar ansuran bank.
"Kediaman yang dimiliki dan didiami sekarang boleh disewakan kepada orang lain dan anda boleh menyewa rumah yang lebih murah.
"Tidak mengapa sewa dahulu kediaman yang mungkin lebih kecil atau tidak sehebat kediaman yang dimiliki buat sementara waktu kerana pengurusan aliran tunai lebih penting dan ia mungkin dapat menyelamatkan anda daripada gagal menjelaskan hutang kepada pihak bank," katanya.
Rohani menambah, langkah terakhir adalah mengiklankan kediaman untuk dijual dan ia mungkin dapat menjelaskan hutang kepada pihak bank.
"Bagaimanapun, anda perlu memastikan nilai jualan kediaman melebihi baki hutang kepada pihak bank dan ia juga boleh dijadikan sumber untuk menstabilkan aliran tunai," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/PnP/2020/10/631176/tips-kawal-aliran-tunai