Cash loans should qualify for moratorium reliefKhamis, 6 Ogos 2020 @ 7:10 AM
KEMENTERIAN Kewangan menggesa individu yang ingin melanjutkan moratorium untuk hadir ke bank bermula esok bagi membuat permohonan berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini bagi mengelakkan 7.7 juta peminjam terbabit membuat permohonan saat akhir seterusnya menjadikan keadaan di bank sesak ketika pandemik Covid-19.

"Kalau 7.7 juta pemohon itu datang pada saat akhir iaitu penghujung September, kami risau dengan kemampuan bank untuk menguruskan permohonan mereka. Kami harap mereka pergi segera supaya dapat mempercepat proses ini.

"Bila tamat saja tempoh permohonan, sekiranya mereka gagal mendapat lanjutan itu ia sudah tentunya akan beri kesan yang sangat besar berbanding situasi yang mereka hadapi kini.

"Diharapkan rakyat yang layak untuk memohon lanjutan moratorium ini untuk gunakan ruang dan peluang yang diberikan oleh kerajaan.

"Kerajaan kini mendengar keluh dan kesah yang dihadapi, jadi mereka (rakyat) perlu bertanggungjawab dengan diri mereka sendiri untuk hadir ke bank.

"Kalau tidak hadir ke bank, sudah pastinya bank tidak tahu masalah yang oleh pemohon. Moratorium lanjutan ini bukan automatik seperti moratorium yang diberikan oleh kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (Perkem) ke-15 di Dewan Sri Siantan di sini, semalam.

Mohd Shahar berkata, menerusi inisiatif Prihatin khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), sehingga 24 Julai lalu lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam sudah mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman yang bernilai RM62.8 bilion.

Selain itu, dalam tempoh sama, sebanyak 243,000 PKS atau 95 peratus daripada jumlah keseluruhannya menerima manfaat daripada moratorium berkenaan dengan nilai RM20.7 bilion.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau dilaporkan berkata, keutamaan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik berkenaan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/08/607450/boleh-mohon-bermula-esok