Isnin, 6 Julai 2020 | 5:49pm
KUALA LUMPUR: Hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok akan diperhatikan dengan penuh minat untuk mendapatkan penilaian terkini mengenai kedudukan ekonomi negara.
Reaksi berbeza diterima daripada ahli ekonomi berhubung keputusan sama ada untuk mengekal atau menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras kadar faedah pinjaman, ke paras terendah dalam sejarah.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau berpendapat OPR bakal dikekalkan pada kadar 2.0 peratus.
Katanya, tanda pemulihan ekonomi mula kelihatan seperti peningkatan jualan kenderaan kepada 22,960 unit pada Mei lalu berbanding 141 unit pada April, yang mana angka itu adalah paras terendah dalam sejarah.
"Selain itu, sentimen perniagaan yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi bulan Jun sudah pun melepasi paras 50 mata. Ini bermakna, peniaga berasa optimistik setelah kegiatan ekonomi beransur-ansur dibuka pada awal Mei lalu.
"Justeru, tiada keperluan bagi BNM untuk mengurangkan OPR buat masa ini meskipun ruang untuk berbuat sedemikian sememangnya ada," katanya kepada BH.
MPC pada 5 Mei lalu mengurangkan OPR sebanyak 0.50 peratus.
Jawatankuasa itu pada 3 Mac dan 22 Januari lalu membuat keputusan untuk menurunkan masing-masing sebanyak 0.25 peratus.
Ketua Ekonomi Penyelidikan Affin Hwang Capital, Alan Tan, berkata pihaknya juga tidak menjangkakan yang bank pusat akan mengurangkan lagi OPR selepas sudah tiga kali berbuat demikian dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Katanya, BNM dilihat sudah selesa dengan kadar semasa dan dijangka akan terus mengekalkannya.
"Berpandukan kepada pemulihan ekonomi negara yang mana risiko yang mampu menjejaskan ekonomi pada masa ini ialah eksport. Asalkan ekonomi domestik terus memulih, kemungkinan untuk BNM memotong lagi OPR pada MPC berikutnya adalah amat kecil.
"Malah saya menjangkakan BNM akan meningkatkan kadar OPR secara berperingkat pada tahun depan sebanyak 25 mata asas (bps) hingga 50 bps," katanya.
Namun, nada berbeza Ketua Penyelidik Kenanga Research, Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie, yang menjangkakan BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada tahun ini.
"Sebabnya ialah masih ada ruang untuk bank pusat melakukan pengurangan itu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
MIDF Research dalam laporannya pada 24 Jun lalu turut menjangkakan yang BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada tahun ini.
Katanya, memandangkan tekanan inflasi kekal rendah dan terdapat lebih banyak risiko negatif terhadap ekonomi termasuk COVID-19, ketegangan perdagangan global, ketidakstabilan politik dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) ditambah dengan kadar dasar Rizab Persekutuan pada 0.25 peratus.
"Maka, BNM mungkin melakukan pemotongan OPR sebanyak 25 bps untuk tahun ini," katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/07/707974/perhatian-tertumpu-kepada-bnm-esok