Situasi semasa yang melanda negara dan dunia akibat daripada penularan wabak COVID-19 menyaksikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia bergelut menguruskan kewangan sehingga memberi impak kepada kesejahteraan ekonomi diri dan keluarga.

Selain sumber pendapatan yang semakin kecil dan terhad, situasi menjadi lebih parah apabila kehidupan seharian sukar diteruskan disebabkan tiada simpanan kecemasan.

Jabatan Perangkaan Malaysia melakukan satu kajian secara dalam talian (Pusingan 1) untuk menilai kesan COVID-19 kepada ekonomi dan individu bagi tempoh antara 18 hingga 31 Mac lalu.

Kajian ini membabitkan sejumlah 168,182 responden yang berusia 15 tahun dan ke atas meliputi seluruh negara. Hasil kajian ini mendapati sebanyak 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi untuk tempoh kurang daripada sebulan.

Hal ini berbeza dengan pekerja swasta yang mana 82.7 peratus responden didapati mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi untuk tempoh dua bulan.

Apa pun, ia jelas menunjukkan bahawa secara umumnya rakyat Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan yang mencukupi sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Dapatan di atas selari dengan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018 oleh Bank Negara Malaysia.

Empat perkara yang membimbangkan mengenai rakyat Malaysia ialah tahap pengetahuan kewangan, simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan dan perancangan untuk persaraan.

Antara dapatan yang menarik untuk dikongsi dan dihayati secara bersama ialah satu daripada lima orang dewasa Malaysia yang bekerja tidak membuat simpanan dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

Sejumlah 84 peratus rakyat pula menyatakan bahawa mereka mempunyai simpanan untuk jangka masa terdekat di mana simpanan berkenaan dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan seharian.

Dalam konteks kesiapsiagaan menghadapi situasi di luar jangkaan, dapatan kajian menunjukkan lebih daripada satu perdua atau 52 peratus rakyat Malaysia menyatakan sukar buat mereka untuk menyediakan sejumlah wang sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Hanya 24 peratus rakyat dapat menampung perbelanjaan sara hidup untuk sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih, sekiranya kehilangan sumber pendapatan utama mereka.

Manakala, 10 peratus sahaja yang menyatakan mereka boleh bertahan untuk lebih daripada enam bulan.

Statistik di atas jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai risiko yang amat tinggi untuk berhadapan dengan masalah kewangan peribadi yang serius sekiranya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi keperluan masa kecemasan.

Dana kecemasan adalah sejumlah wang yang diasingkan untuk tujuan perbelanjaan keperluan pada masa kecemasan atau keadaan yang berlaku di luar daripada jangkaan.

Contohnya, apabila seseorang itu jatuh sakit dan memerlukan rawatan segera di hospital, kebakaran rumah, kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa ketua keluarga, kerosakan harta benda disebabkan oleh banjir kilat, diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi dan krisis kesihatan seperti penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Dana kecemasan akan bertindak sebagai penampan kepada bebanan kewangan yang terpaksa dihadapi, di mana ia tidak akan mengganggu perbelanjaan harian dan keperluan lain.

Adalah amat penting dan menjadi satu kewajipan semua rakyat untuk mempunyai dan menyediakan dana kecemasan kerana setiap hari kita terdedah dengan pelbagai risiko.

Menurut pakar pengurusan kewangan peribadi, setiap individu mahupun keluarga perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan atau pendapatan diterima yang dapat dijadikan sebagai simpanan untuk dana kecemasan.

Dana kecemasan ini perlu ada setiap masa kerana sekiranya ditimpa musibah seseorang itu tidak perlu meminjam wang daripada orang lain mahupun daripada institusi kewangan.

Harus diingat bahawa simpanan kecemasan mesti dalam bentuk tunai kerana sekiranya berlaku perkara yang di luar jangkaan seseorang boleh terus menggunakan wang berkenaan berbanding simpanan atau aset lain yang mempunyai nilai kecairan yang lebih rendah.

Sebagai kesimpulan, tempoh PKP ini adalah masa yang sangat sesuai dan praktikal untuk semua rakyat mengamalkan cara gaya hidup bersederhana, berjimat dan berhemah.

Andai kata dunia bebas daripada penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat atau sebaliknya, pelbagai perkara di luar jangkaan yang lain mungkin boleh terjadi kepada diri dan keluarga.

Rakyat tidak selamanya boleh bertongkatkan bantuan kerajaan dan mengharapkan belas ihsan orang ramai sekiranya ditimpa sebarang musibah atau bencana.

Bagi mengurangkan tekanan kewangan (financial stress) semua rakyat harus mempersiapkan diri dengan benteng pertahanan yang ampuh, iaitu dengan menyediakan dana kecemasan yang secukupnya buat diri dan keluarga untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Kaedah ini dilihat sebagai satu strategi terbaik yang sewajarnya diamalkan dalam merancang dan mengurus kewangan peribadi rakyat Malaysia.

Dana kecemasan adalah penting untuk kestabilan kewangan dan sebagai perlindungan untuk masa hadapan anda dan orang tersayang.

Semoga semua rakyat Malaysia dapat melalui fasa yang penuh dengan cabaran dari segi fizikal, emosi, rohani, jasmani termasuk ekonomi dengan penuh kesabaran, keinsafan dan kesederhanaan.

Penulis ialah Pakar Kewangan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia.

Sumber: https://www.bharian.com.my/node/678486/amp