Pengeluaran dan penjualan ubat palsu semakin meningkat di seluruh dunia. Ramai pengguna yang tidak sedar mereka telah membeli ubat palsu, khususnya apabila membeli melalui laman web.
Pengarah Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (US Food and Drug Administration, FDA), Margaret Hamburg berkata, penjualan ubat palsu ini akan mengancam kesihatan semua orang. Ini disebabkan produk ini mungkin mengandungi bahan-bahan aktif yang terlarang dan palsu atau mengandungi bahan-bahan beracun yang tidak diketahui.
Kegiatan menghasilkan ubat palsu ini menjadi semakin rumit mengikut kedudukan geografi bagi sesebuah negara tertentu. Ia akan menjadi jenayah berleluasa tanpa terkawal jika tindakan sewajarnya tidak diambil. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di negara-negara kaya, penghasilan ubat palsu sering dikaitkan dengan hormon mahal, steroid, ubat anti kanser serta ubat-ubatan yang berkaitan dengan gaya hidup.
Manakala di negara-negara sedang membangun pula, khususnya Afrika, ubat palsu yang muncul di pasaran biasanya ubat-ubat yang digunakan untuk merawat penyakit kronik seperti malaria, tuberculosis dan HIV / AIDS. Sebagai contoh, pada tahun bulan Februari 2009, sirap tumbuh gigi tercemar mengakibatkan kematian di Nigeria. Sebanyak 84 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat tindak-tanduk tidak bertanggungjawab beberapa negara tentang ubat palsu ini.
Bagi seseorang pesakit, jika mereka bertolak ansur terhadap ciri-ciri keselamatan ubat, maka mereka juga perlu berhadapan dengan ketidakkeberkesanan dan kualiti ubat yang meragukan. Sebagai contoh, ubat palsu yang biasanya lebih murah akan menggunakan bahan asas yang tidak menunjukkan kesan yang sama dengan ramuan asli.
Kebanyakan pembuat ubat generik di India dan Brazil, yang disokong oleh para aktivis kesihatan menuduh bahawa keprihatinan tentang ubat palsu oleh syarikat farmasi adalah untuk melindungi hak paten mereka terhadap pesaing lain.
Sepatutnya ini tidak menjadi satu isu dalam WHO, walaupun sesetengah organisasi telah mencetuskan perbincangan yang hebat. WHO sepatutnya memberi tumpuan pada kesihatan penduduk sedunia, dan bukan pada perihal penguatkuasaan polisi harta intelek.
Syarikat farmasi yang berasaskan penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan pula mengatakan bahawa ubat palsu menimbulkan ancaman bagi pesakit, tetapi demi kepentingan komersil, mereka tidak didorong untuk memerangi masalah tersebut.
Jadi, siapakah yang perlu memainkan peranan dalam melindungi keselamatan pengguna?
Menurut Persekutuan Persatuan & Pengeluar Farmasi Antarabangsa (International Federation of Pharmaceutical Manufacturers & Associations, IFPMA) yang berpusat di Geneva, sebanyak 1,693 kemalangan melibatkan ubat palsu telah dikesan pada tahun 2009, dengan peningkatan sebanyak 7 peratus. Akibatnya, kesihatan berpuluh-puluh juta penduduk sedunia akan terjejas.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
24 Mei 2010