Negara telah melalui 7 pilihan raya kecil bagi DUN (Permatang Pauh, Bukit Selambau, Batang Ai, Menanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas) dan 6 bagi Parlimen (Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi) semenjak Pilihanraya Umum ke-12. Satu lagi pilihan raya akan diadakan pada DUN Tenang.
Kebanyakan pilihanraya kecil ini diadakan kerana ahli dewan undangan negeri atau ahli parlimen di kawasan-kawasan tersebut meninggal dunia atau melepaskan jawatan mereka kerana masalah kesihatan. Begitu juga dengan DUN Tenang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sulaiman Taha, yang meninggal akibat jangkitan dalam darah dan komplikasi lain disebabkan diabetes. (Sumber: Wikipedia)
Memang kita tidak dapat menjangkakan kematian setiap orang, namun adalah lebih baik sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambahkan satu lagi kelayakan kepada bakal calon yang bertanding, iaitu mempunyai tahap kesihatan yang baik.
Pada waktu ini, antara kelayakan-kelayakan yang perlu dipenuhi oleh bakal calon adalah:
i) warganegara Malaysia;
ii) berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon;
iii) tinggal di negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen; dan
iv) tidak hilang kelayakan (tidak siuman, bankrap, memegang jawatan “office of profit”, gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihanraya, telah mendapat kewarganegaraan asing, dan telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun atau kurang dari RM2000 dan belum mendapat keampunan)
Jika dilihat kepada kelayakan calon yang bertanding, ia terlalu asas sehingga boleh dikatakan, ‘Sesiapa pun boleh bertanding, asalkan berpengaruh dan berwang”.
Di dalam Islam, antara syarat-syarat bagi seseorang pemimpin adalah pemimpin mestilah berpegang kepada ajaran agama, sihat tubuh badan, adil, berilmu, mempunyai teladan yang baik, melaksanakan hukum, memberi perhatian kepada orang bawahan, matang dalam tindakan dan tidak zalim.
Contoh lain yang mudah, sekiranya dalam perkahwinan sekalipun, suami yang bakal mengetuai sebuah bahtera rumah tangga diwajibkan mempunyai tubuh badan yang sihat, apatah lagi pemimpin yang akan memimpin rakyat?
Oleh itu, bakal calon yang akan bertanding wajiblah menjalankan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya dan memberikan laporan kesihatan tersebut kepada SPR. Laporan ini kemudiannya akan dinilai oleh panel khas kesihatan calon. Sekiranya calon mempunyai penyakit kronik, maka beliau tidak dibenarkan untuk bertanding. Ini juga baik bagi calon untuk membolehkan beliau merawat penyakitnya yang mungkin tidak diketahuinya sebelum ini.
SPR wajar memberikan pertimbangan terhadap syarat ‘sihat tubuh badan’ untuk dimasukkan ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia