Kegilaan generasi muda menghisap rokok elektronik atau vapor pada masa ini menjurus kepada peningkatan permintaan terhadap cecair rokok berkenaan. Jika dahulu cecair vapor sekadar mengandungi nikotin dan sedikit perisa asas seperti vanila, ia kini diubahsuai bagi menghasilkan pelbagai perisa sejajar cita rasa masyarakat tempatan.

Cecair berperisa mangga, tembikai susu, sirap bandung dan pandan kini boleh diperoleh dengan mudah oleh penghisap vapor berikutan kernunculan ramai pengusaha baharu yang mengambil kesempatan mengadun dan memasarkan cecair berkenaan. Namun, timbul persoalan sama ada kandungan cecair itu benarbenar bebas daripada sebarang risiko kesihatan kerana kaedah penyediaannya tidak dinyatakan atau mengikut piawaian industri.

Tiada Garis Panduan 

Hingga kini, tiada penetapan dibuat pihak berkuasa mengenai garis panduan penyediaan cecair terbabit, sekali gus mengundang kerisauan kemungkinan penyediaannya oleh pelbagai pengusaha melanggar dos ditetapkan terutama kandungan nikotin. Jika diteliti penjualan cecair vapor dengan pelbagai perisa antara RM30 RM40 di kebanyakan gerai dan pasar malam ketika ini, memang jelas tidak diperincikan langsung bahan adunan melainkan sekadar menyatakan jenis perisa.

Biarpun ada yang melabelkan kandungan nikotin antara sifar miligram (mg) hingga 24 mg, tidak dapat dipastikan apakah benar tahap nikotin yang dinyatakan. Kementerian Kesihatan sebelum ini mendapati ada cecair vapor yang dilabelkan sebagai 0 mg nikotin didapati mengandungi nikotin, sekali gus menunjukkan penyediaan cecair vapor ketika ini tidak dikawal pihak berkuasa.

la berbeza berbanding penyediaan rokok biasa yang dikawal paras nikotin oleh kerajaan menerusi undang-undang berkaitan tembakau iaitu Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang perlu dipatuhi syarikat pengeluar berdaftar.

Cetus Kebimbangan


Situasi ini mencetuskan kebimbangan berhubung keselamatan vapor yang dihasilkan, lebih-lebih lagi ada laporan yang menyatakan sudah ada pihak yang mengeluarkan cecair mengandungi bahan terlarang dan dadah seperti ganja. Tinjauan BH di pasar larut malam di sekitar Setapak, Cheras dan Seri Kembangan mendapati, penjualan vapor begitu laris biarpun Kementerian Kesihatan menasihatkan penggunaannya dihentikan sementara. 

Apabila diajukan soalan berhubung pengeluar vapor itu, penjual memberikan jawapan yang pelbagai. Apa yang jelas, pengeluarnya tidak memperoleh sebarang lesen daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan. "Kalau pandai boleh buat sendiri dan jual, sebab barang (bahan mentah) boleh dibeli dalam talian," kata seorang peniaga. Lebih hebat Iagi apabila teknik pembuatan vapor itu turut dikongsi di media sosial seperti YouTube, yang boleh diikuti orang ramai. Persoalannya, apakah vapor benar-benar selamat? Jawapannya masih samar. 

Kementerian Kesihatan hanya akan mengumumkannya dalam tempoh dua bulan lagi. Biarpun belum ada risiko jelas mengenai penggunaan vapor, Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Dalilah Kamaruddin, merumuskan tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan vapor mendedahkan penggunanya kepada penyakit maut seperti kanser. 

Pemangkin Kanser 

Beliau berkata, sifat wap nikotin yang dihasilkan vapor itu adalah sama  dengan asid nitrik, iaitu bahan pernangkin kepada kanser dalam tubuh manusia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam ulasan mengenai penggunaan vapor menyatakan, biarpun belum dapat dipastikan implikasi penggunaannya terhadap kesihatan manusia, nikotin dalarn cecair itu boleh menyumbang kepada penyakit kardiovaskular. 

Analisis oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat mendapati adalah sukar untuk menentukan jenis atau kepekatan bahan kimia, termasuk nikotin dalam vapor kerana ia diadun oleh banyak pengeluar. Bagaimanapun FDA mengesahkan bahan kimia, termasuk nikotin yang terdapat dalam vapor boleh menjejaskan kesihatan serta merangsang ketagihan. 

Dalam analisis itu juga, VDA menolak pandangan kononnya penggunaan vapor adalah kaedah baharu yang boleh dimanfaatkan perokok untuk berhenti merokok kerana usaha itu perlu dilakukan menerusi proses yang ditetapkan pengamal kesihatan atau doktor.

 

Sumber : Berita Harian - Nasional - P4 (Selasa, 25 Ogos 2015)