Mendengar perkataan buasir sahaja sudah cukup untuk mengundang perasaan seram dan takut kerana kita kenal atau mungkin mengenali seseorang yang pernah menderita penyakit penghadaman ini. Ia juga bukanlah sesuatu yang seronok untuk dibicarakan dan ramai rakyat Malaysia lebih rela menderita secara senyap. Kesilapan ini tidak harus berlaku kerana buasir sebenarnya boleh dirawat, malah boleh dicegah!
Simptom-simptom buasir termasuk :
- Pendarahan dan sakit ketika membuang air besar.
- Bengkak pada dubur ketika membuang air besar.
- Gatal-gatal di sekitar dubur.
- Terdapat cecair mengalir dari dubur (seperti nanah).
- Kecacatan fizikal (gumpalan berdekatan atau di dalam dubur).
Tetapi bagaimana dan mengapa buasir terjadi? Selalunya, ia disebabkan oleh peningkatan tekanan dalam urat-urat darah pelvik. Peningkatan tekanan dalam urat darah lazimnya disebabkan oleh sembelit, meneran ketika membuang air besar, dan duduk terlalu lama atas tandas. Mereka yang obes , hamil atau mengambil diet yang rendah serat juga mudah mendapat buasir.
Terdapat dua jenis buasir :
Dalaman |
Luaran |
Terjadi di bahagian bawah rektum dan ada kebarangkalian berlakunya simptom pendarahan. Dalam kes yang teruk, buasir boleh terus kekal dan memerlukan rawatan. |
Terjadi di bahagian dalam sempadan dubur dan darah beku terbentuk yang menyebabkan pendarahan atau bengkak yang menyakitkan. Kulit menjadi rengsa dan gatal apabila darah beku mencair dan kulit berlebihan tertinggal. |
Tidak kira apapun jenisnya, buasir sangat menyakitkan dan kurang menyenangkan. Mujur ia boleh dicegah dengan cara :
- Makan Secara Sihat
Diet seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan daripada kesemua kumpulan makanan utama dalam Piramid Makanan Malaysia dalam saiz hidangan yang sihat boleh membantu mengurangkan risiko buasir. Oleh kerana penyebab utama buasir adalah sembelit, diet yang sihat boleh melembutkan najis supaya mudah melepasi usus besar. Makan secara sihat bukan sahaja mencegah sembelit tetapi juga masalah penghadaman lain seperti cirit-birit, kembung dan ketidakhadaman.
Anda juga harus menambah lebih banyak serat ke dalam diet anda. Serat membantu penghadaman dengan bertindak sebagai sumber makanan bagi bakteria baik atau ‘probiotik’, dan kemudian membantu menghadam nutrien-nutrien dalam usus. Selain itu, serat juga dikenali sebagai agen pemukal bagi najis, ia mengawal pergerakan usus dan memudahkan najis bergerak melalui usus.
Sumber baik bagi serat termasuk :
- Kacang panggang
- Kacang kuda
- Dal / Lentil
- Oat
- Roti atau pasta bijiran penuh
- Beras perang atau penuh mil
- Kekacang, badam, kacang walnut
- Kentang bersama kulit
- Buah oren, kiwi dan pisang
Tambah serat dalam setiap hidangan dan dari masa ke masa, pelbagaikan pilihan anda. Pada masa yang sama pilih juga cara memasak yang lebih sihat (contohnya : memanggang, mengukus atau melayur) menggunakan garam, gula dan minyak yang sedikit. Akhir sekali, lengkapkan diet anda dengan meminum banyak air kosong untuk membantu penghadaman. Air dan cecair lain membantu menghadam makanan agar tubuh anda dapat menyerap nutrien-nutrien. Air juga melembutkan najis dan membantu mencegah sembelit.
- Aktif Secara Fizikal Setiap Hari
Senaman boleh membantu mempercepatkan penghadaman dengan menolong pergerakan makanan sepanjang usus besar. Ini mengehadkan jumlah air yang diserap daripada najis, menghalangnya daripada menjadi keras dan menyebabkan sembelit.
Senaman aerobik khususnya (seperti berjoging, berjalan atau berenang), meningkatkan pernafasan dan degupan jantung seseorang dan membantu merangsang pengecutan secara semula jadi otot-otot usus sekaligus memperbaiki pembuangan najis.
Bagi orang dewasa, senaman berintensiti sederhana secara tetap selama 30 minit setiap hari berkesan untuk kesihatan usus dan kesihatan badan secara keseluruhan. Sekiranya anda tidak dapat mencapainya sekaligus, bersenamlah sekejap-sekejap sepanjang hari. Contohnya, anda boleh menggunakan tangga berbanding lif, berjalan kaki pantas mengelilingi bangunan pejabat pada waktu makan tengah hari, atau hanya berdiri melakukan beberapa senaman regangan selama 5 minit setiap 2-3 jam sekali. Jika anda tiada masa untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berjoging, kerja-kerja rumah seperti berkebun dan membasuh kereta sendiri juga dapat membantu menggerakkan tubuh anda.
- Memupuk Tabiat Membuang Air Besar Yang Baik
Strategi ini sepenting makan secara sihat dan kekal aktif. Beberapa tabiat yang berterusan seperti menahan najis hingga menjadi keras, duduk terlalu lama diatas tandas atau meneran terlalu kuat apabila membuang air besar boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya buasir kerana ia meningkatkan tekanan pada urat-urat pelvik.
Tabiat-tabiat tersebut perlu dielakkan dan digantikan dengan amalan membuang air besar yang lebih baik. Cara terbaik adalah membuang air besar sebaik sahaja terasa hendak membuang air besar. Ia mengelakkan anda duduk terlalu lama di atas tandas untuk menunggu najis itu keluar. Ia juga mengelakkan anada dari meneran terlalu kuat akibat najis yang keras dan kering.
Walaupun tidak mengancam nyawa, ketidakselesaan dan kesakitan yang berkait dengan buasir adalah ketara dan boleh menjejaskan rutin harian anda. Namun, dengan rawatan perubatan yang sepatutnya, simptom-simptom akan reda dalam beberapa hari.
Buasir yang teruk dan melibatkan pendarahan ketika membuang air besar perlu diberi perhatian segera berjumpa dengan doktor anda. Paling penting, anda boleh mengurangkan peluang menghidap buasir dengan makan secara sihat, bersenam secara tetap dan mengamalkan tabiat membuang air besar yang baik.
Penulis : Dr Sheikh Anwar Abdullah, Perunding Gastroenterogi & Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana
Sumber : Harian Metro – (25 November 2015, Rabu)