Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa pengguna agar lebih berhati-hati ketika membeli ubat-ubatan terutama secara online.
Timbalan presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ketika akses kepada perubatan kini menjadi mudah, adalah penting pengguna membeli ubat-ubatan mereka dari farmasi berlesen atau menerusi doktor perubatan.
"Pengguna hendaklah mengelak daripada membeli dari internet oleh kerana sumber dan status penjual tidak diketahi. Begitu juga membeli di kaki lima atau pasar malam.
"Kebanyakan pengguna yang membeli dari sumber ini tidak pun tahu kesan sampingan mengambil ubat berkenaan.
"Mengetahui bagaimana ubat-ubatan memberi kesan kepada gaya hidup anda adalah penting kerana ia memberi peluang kepada anda untuk menyelamatkan nyawa," katanya pada sidang akhbar mengenai Hari Hak Penggunan Sedunia (WCRD) 2016 di sini hari ini.
WCRD adalah acara tahunan yang disambut di seluruh dunia pada 15 Mac, bagi menimbulkan kesedaran tentang isu-isu pengguna.
Mohd Yusof berkata, Fomca akan melancarkan kempen seluruh negara, "Ketahuilah Ubat Anda".
Kempen yang bermula hari ini hingga Sept akan mendidik pengguna untuk mengetahui cara pengubatan yang betul, kesan sampingan, bila perlu mengambil antibiotik, dan sumber-sumber medikasi.
Sumber : Bernama (15 Mac 2016, Selasa), http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1225282