PASIR GUDANG - Pencemaran udara terus merebak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, loya dan muntah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi tadi ketika sesi persekolahan baru berjalan sebelum beberapa pelajar mengalami simptom-simptom tersebut.Pelajar tersebut kemudiannya ditenangkan guru sekolah berkenaan sementara menunggu kehadiran ambulans untuk menghantar mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Difahamkan, pihak sekolah sudah mengeluarkan arahan kepada ibu bapa untuk membawa pulang anak masing-masing sebagai langkah keselamatan dan bagi mengelak keadaan bertambah buruk.
Sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan setelah menimbulkan panik sejurus beberapa pelajar mengalami simptom akibat pencemaran udara.
Ini adalah kali kedua SMK Tanjung Puteri Resort terjejas akibat pencemaran udara selepas kali pertama ditutup akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini pada Mac lalu. -UTUSAN ONLINE