Kementerian Kesihatan mengakui cadangan harga siling bagi mengawal harga ubat-ubatan mungkin mendapat respons kurang selesa daripada hospital swasta.Namun, menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu tetap diteruskan dan pihaknya akan mencari penyelesaian “menang-menang” untuk semua pihak.“Sektor swasta mungkin melihat perkara ini dengan respons yang agak kurang selesa.“Tapi kita terpaksa mengambil satu penyelesaian yang sesuai untuk semua. Kita tak boleh memilih. Mesti ada jalan penyelesaian untuk semua pihak.“Kalau (harga ubat) swasta terlalu mahal, hospital awam kita akan sesak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Selasa.
Namun, katanya harga siling itu tidak akan jauh berbeza kerana ia akan ditetapkan berdasarkan harga sandaran yang digunakan oleh negara seperti Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.Apabila ditanya sama ada harga tersebut akan lebih tinggi sekiranya merujuk kepada negara-negara tersebut, Dzulkefly berkata setakat ini, harga ubat-ubatan di Malaysia lebih tinggi daripada negara tersebut.Beliau menjangkakan cadangan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.Untuk rekod, pada November lalu, Dzulkefly dilaporkan mencadangkan mekanisme kawalan bagi harga jualan siling kepada pengguna di semua saluran pendispensan yang sesuai untuk dilaksanakan dan selari dengan amalan antarabangsa.Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung dapat menyelaraskan harga ubat dan memastikan akses ubat-ubatan mampu beli kepada rakyat.