SEAWAL pukul 6 pagi, Norazureen Abdullah, 30, sudah bangun dan bersiap sedia untuk membawa anak kembarnya yang berusia lapan bulan untuk mendapatkan suntikan imunisasi di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Sentul, Kuala Lumpur.Walaupun tiba awal di klinik tersebut, segala urusan suntikan dan pemeriksaan kesihatan bersama jururawat hanya selesai sekitar 1.30 tengah hari.Namun, menurut anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak sedikit pun berasa lelah menunggu dan sentiasa bersabar dengan perkhidmatan yang diberikan.“Semuanya kerana anak-anak, untuk mengelakkan mereka terkena sebarang penyakit, saya tidak kisah menunggu lama bagi mendapatkan suntikan imunisasi.
“Kalau masa zaman P. Ramlee dahulu tidak perlukan suntikan tetapi sekarang dengan keadaan pencemaran berleluasa serta radikal persekitaran dipenuhi penyakit aneh, vaksin adalah satu kewajipan,” katanya ketika dihubungi K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit demam campak telah menyaksikan kenaikan sebanyak 30 peratus kes di seluruh dunia, tetapi sebab-sebab peningkatan itu adalah rumit dan tidak semua kes berkenaan disebabkan oleh kebimbangan vaksin.Sesetengah negara yang hampir menghilangkan penyakit itu juga telah mengalami kebangkitan semula termasuk Amerika Syarikat (AS).Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mencatatkan peratusan kanak-kanak berusia antara 19 hingga 35 bulan yang belum divaksin di negara itu telah meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Ancaman
Pada tahun 2000, kes demam campak di AS pernah berada pada bilangan sifar, namun sejak 2018, trend kes itu kembali meningkat disebabkan kewujudan golongan antivaksin.Ancaman terhadap perubatan vaksin semakin serius sehingga ia tercatat sebagai 10 ancaman kesihatan paling bahaya di dunia. Selain vaksin, ancaman kesihatan lain adalah seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis, Ebola, HIV, denggi dan lain-lain.Tambah ibu kepada Adam Julian Mohd. Syafik dan Anas Julius Mohd. Syafik, apa yang membuatkannya tidak pernah terlepas daripada mengikuti jadual imunisasi bayinya adalah kerana kedua-dua kembarnya merupakan bayi pramatang.
“Saya pasti, bayi pramatang memerlukan perlindungan dan penjagaan yang lebih. Siapa yang mahu anak mereka sakit. Sesal kemudian tidak berguna,” ujarnya lagi.Sistem daya lawan (imun) bayi lemah jika dibandingkan dengan sistem imun dewasa. Oleh itu, risiko bayi untuk dijangkiti penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin adalah lebih tinggi. Untuk menangani masalah ini, imunisasi diberikan seawal bayi baru lahir lagi seperti suntikan BCG dan Hepatitis B.Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Private Specialist Centre, Dr. Masri Muhamed berkata, vaksin mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.
“Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.“Manusia memerlukan vaksin kerana ia adalah cara paling selamat dan berkesan untuk mencegah kemudaratan serta komplikasi penyakit seperti difteria yang boleh membawa maut,” tuturnya.Tambah Masri, oleh sebab itu ibu bapa disarankan mengikuti jadual imunisasi yang telah ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).Menerusi jadual imunisasi yang telah ditetapkan KKM, vaksin perlu diberikan mengikut jadual ketetapan umur, jenis imunisasi serta dos yang sesuai.Kegagalan atau keengganan mengikut ketetapan yang disarankan akan mendatangkan kemudaratan yang bukan sahaja mengakibatkan keburukan kepada rantaian kesihatan masyarakat, malah mendatangkan ancaman besar kepada dunia.
Antitoksin
Antara implikasi tersebut adalah mudah terkena penyakit yang boleh membawa maut seperti batuk kokol, influenza jenis B, demam campak dan polio.AS mencatatkan kematian seramai 130 orang akibat demam campak, manakala 8,500 disahkan menghidap penyakit itu.Malah, laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 2.5 juta kanak-kanak di Filipina masih belum divaksin.Dalam pada itu, Masri turut menambah, penolakan terhadap vaksin akan menyebabkan rantaian imuniti berkelompok semakin lemah dan boleh terputus.“Imuniti Kelompok atau Herd Immunity adalah keadaan sesebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut,” terangnya.
Memetik laporan Kosmo! baru-baru ini, di Johor Bahru seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan telah meninggal dunia akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.Kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.
Wajib
Malangnya, kanak-kanak berkenaan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia dengan sebab difteria yang teruk dan kegagalan beberapa organ dalaman.“Sebagai pengetahuan, ubat antitoksin amat mahal. Satu antitoksin sahaja sudah bernilai RM5,000 dan untuk kanak-kanak berumur dua atau tiga tahun mereka memerlukan tiga atau empat antitoksin.“Ubat tersebut juga bukan sedia ada kerana penyakit tersebut hampir lenyap. Jadi tidak semua hospital mampu menyediakan ubat tersebut,” ulas Masri.Ahli Psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah berkata, ibu bapa harus membuat kaji selidik tentang kebaikan vaksin berbanding mengambil keputusan membuta tuli dengan menentang pengambilan imunisasi berkenaan.“Melalui pemerhatian dan komen saya bersama ibu bapa yang tidak mahu memvaksinkan anak-anak terutamanya di laman sosial, mereka ini daripada golongan bijak pandai, namun pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara itu terbatas dan terhad.
“Golongan ini lebih mudah percaya perkara yang ada kaitan dengan testimonial berbanding fakta saintifik. Mereka tidak berganjak langsung daripada pendirian mereka walaupun pakar-pakar perubatan telah berusaha bertungkus lumus memberi pelbagai penerangan saintifik tentang isu keselamatan penerimaan vaksin,” jelasnya.Di Malaysia, Kedah merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan penolakan vaksin dengan 139 kes dilaporkan berbanding 133 kes pada tahun sebelumnya.Tambahnya, sehingga kini belum ada kajian yang sah mengatakan vaksin itu memudaratkan.Katanya lagi, lihat sahaja mengapa Arab Saudi mewajibkan jemaah umrah dan haji mengambil vaksinasi.“Anda mahu ke Tanah Suci, anda harus ambil vaksin. Masa ini, apa yang anda jawab? Kerana tiada pilihan. Ini bukan soalan pilihan, ini wajib. Anda wajib beri vaksin kepada anak anda.
“Saya tahu anda sudah menerima vaksin, jadi kenapa tidak mahu anak anda turut sama menerimanya?” tegasnya.Maria turut menambah, ibu bapa yang mendapati anak mereka sudah terlepas suntikan imunisasi dan vaksin mengikut jadual ditetapkan boleh pergi ke klinik bagi mendapatkan semula suntikan berkenaan.Program keciciran imunisasi boleh didapati di mana-mana klinik kesihatan kerajaan secara percuma.Kegagalan atau keengganan menerima vaksin akan mendatangkan kemudaratan yang bukan sahaja mengakibatkan keburukan kepada rantaian kesihatan masyarakat, malah mendatangkan ancaman besar kepada dunia.