Baru–baru ini Health Canada telah mengeluarkan arahan untuk menarik balik satu produk  berjenama Complete 7-Day Cleanse daripada pasaran di Kanada kerana produk tersebut disyaki mendatangkan bahaya kepada pengguna. Menurut Health Canada, produk tersebut yang bertujuan untuk ‘membersihkan’ badan daripada dalam tetapi kini mengesyaki bahawa kombinasi kandungan  dalam produk tersebut boleh mendatangkan kesan sampingan di mana ia akan menyebabkan seseorang pengguna itu mengalami dihidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan. 


Keadaan dehidrasi yang berlebihan dalam seseorang akan menyebabkan mereka mengalami gangguan pada mental dan pening kepala. Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan pula akan menyebabkan  kelemahan pada otot, kesusahan untuk bernafas dan degupan jantung yang tidak normal. Produk tersebut juga dikatakan tidak mempunyai kebenaran untuk dijual di Kanada dan pengimport produk tersebut iaitu syarikat Iovate Health Sciences Internal Inc kini sedang menarik balik semua produk tersebut di pasaran.

Pengguna pula dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut dan perlu lebih berhati-hati dengan produk yang menggunakan bahan semula jadi atau herba. Walaupun produk yang dihasilkan secara semula jadi dikatakan membawa kebaikan, tetapi kesan sampingan yang diakibatkan olehnya semakin menjadi-jadi. Oleh itu, pengguna-pengguna dinasihat supaya lebih berwaspada.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia