Apabila membeli sesuatu produk, pernahkah anda terfikir sama ada produk tersebut tulen atau tidak? Berapa lamakah produk tersebut boleh digunakan? Adakah produk tersebut selamat untuk digunakan?
Kita sebagai pengguna mempunyai satu kebiasaan yang sentiasa berfikir bahawa produk yang berharga yang mahal adalah produk yang lebih berkualiti. Walaupun begitu, terdapat pengguna yang masih tertipu dan barangan palsu dan tidak berkualiti. Ini mungkin disebabkan produk tersebut adalah produk yang dikenali sebagai counterfeit products iaitu produk tiruan atau produk palsu.
Jenis-jenis produk yang seringkali dijumpai sebagai produk tiruan adalah barang seperti telefon bimbit, thumbdrive, laptop, radio dan sebagainya. Pengguna tidak dapat membezakan produk tiruan dan asli kerana kedua-duanya hampir serupa. Label yang tidak asli dengan nombor pendaftaran yang tidak sah dilekat pada barangan seperti ini dan akibatnya, pengguna biasa menjadi mangsa penipuan.
Oleh itu, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia ( SKMM) bersama-sama dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd telah mengeluarkan satu label khas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih dengan pengaplikasian teknologi nano. Mulai 16 Ogos 2010, label ini akan dikuatkuasakan. Untuk mengetahui keaslian sesuatu peralatan elektronik dan komunikasi, pengguna boleh melihat kepada label SIRIM dan SKMM dan sms nombor siri pada label tersebut ke 32300. Pengguna akan mendapat jawapan daripada SIRIM sama ada barang tersebut adalah asli atau palsu. Setiap SMS akan dicaj RM 0.50.
Melalui cara ini, pengguna tidak perlu risau membeli peralatan elektronik komunikasi. Walau bagaimanapun, pada setakat ini, hanya sesetengah barang mempunyai label tersebut dan barangan yang lain masih dalam proses untuk pelabelan. Pengguna masih akan terjumpa label lama pada produk, tetapi pengguna tidak harus panik dan risau kerana label lama masih boleh digunakan oleh syarikat-syarikat sehingga akhir tahun 2010. Mulai tahun 2011, label baru akan digunakan sepenuhnya.
Untuk pertanyaan lanjut, pengguna-pengguna boleh menghubungi SIRIM QAS International Sdn Bhd di talian 03-55446251 atau SKMM di talian 03-86888000.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia