Pengguna dan ibu bapa hendaklah membuat persediaan awal dan bijak dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi Bisfenol A (BPA) kepada botol tanpa BPA.

Botol yang mangandungi BPA mempunyai kod kitar semula 3, 6 dan 7, manakala botol yang tidak mengandungi BPA biasanya mempunyai kod kitar semula 1, 2, 4 dan 5. Namun begitu, terdapat pertikaian tentang kod kitar semula ini. Oleh itu, kod kitar semula hanya boleh digunakan sebagai rujukan. Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan pertimbangan mereka apabila memilih botol susu bayi.

Jika kod kitar semula adalah 3, 6 dan 7, kelihatan ringan, tahan lasak, serta mempunyai tahap kejelasan optik yang tinggi, maka ia besar kemungkinan mengandungi BPA.


Bagi pengguna yang masih menggunakan botol BPA, berikut adalah beberapa langkah penjagaan:
- Jangan memasukkan air panas terus ke dalam botol.
- Basuh botol dengan span lembut bagi mengelakkan botol tercalar.
- Jika botol tercalar, tukar botol yang baru dengan segera 
- Tukar botol susu setiap 6 bulan sekali.

Sekiranya botol susu mengandungi BPA terkena air panas atau dipanaskan, BPA akan terlarut secara perlahan dan meresap ke dalam cecair di dalam botol itu seperti susu. Jika botol tercalar pula, kemungkinan tinggi BPA akan terlarut dengan mudahnya dan bercampur dengan cecair di dalamnya.

Bagi botol yang tanpa label dan mempunyai gambaran yang menarik serta berwarna-warni, pengguna perlu lebih berhati-hati. Ini disebabkan botol yang tanpa label ini mungkin dibuat daripada sumber yang tidak diketahui dan pewarna yang berbahaya. Apabila dicampur dengan larutan panas, bahan kimia akan larut dengan cepat dan masuk ke tubuh secara disedari.

Oleh itu, pengguna terutamanya ibu bapa, perlu berhati-hati semasa membeli botol susu atau botol minuman untuk kanak-kanak di rumah. Belilah hanya botol yang mempunyai label yang menyatakan dengan jelas kandungan serta serta tempat pembuatannya.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia