Simpanan emas dikatakan mampu memberi pulangan yang tinggi dalam jangka panjang. Namun, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) tetap menasihati orang ramai untuk lebih berhati –hati dengan sebarang bentuk perniagaan atau pelaburan membabitkan emas.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, orang ramai perlu sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian berhubung sesuatu urus niaga yang ingin dilakukan.

“Mereka perlu berwaspada dengan syarikat atau perniagaan yang menawarkan skim-skim atau hadiah yang istimewa.

“Bukan itu sahaja orang ramai juga perlu berhati-hati memilih jenis simpanan,” katanya.

Walaupun agak sukar mengenal pasti syarikat atau perniagaan itu yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM), tetapi ia harus dibuat bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Sebelum ini terdapat beberapa syarikat yang didapati melakukan  penipuan pelaburan emas tetapi agak sukar dikesan kerana ada di antaranya yang tidak berdaftar.

Mengulas berhubung perbezaan di antara pelaburan dan simpanan emas, katanya, pelaburan adalah bentuk pelaburan jangka panjang yang mendatangkan keuntungan yang banyak tetapi mempunyai risiko yang tinggi.

“Berbeza dengan simpanan emas yang dibuat sendiri yang tidak mempunyai risiko tinggi dan emas boleh disimpan dalam peti keselamatan di bank-bank,” katanya.

Orang ramai yang membuat pembelian emas juga digalakkan mempunyai pengetahuan tentang emas.

“Ini kerana nilai emas berbeza mengikut bentuk. Sebab itu adalah digalakkan untuk membuat simpanan emas di dalam bentuk jongkong atau barang kemas,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata, pelaburan atau simpanan emas ini adalah sesuai bagi tempoh jangka panjang.

“Nilai emas tidak mempunyai susut nilai. Namun jika berlaku mungkin disebabkan oleh faktor-faktor lain tetapi kerugian tidak besar.” Katanya.

 

Sumber : Sinar Harian – Bisnes – (28 September 2015, Isnin)