Sejurus selepas promosi pelancongan MATTA Fair diadakan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional mulai menerima pelbagai aduan daripada pengguna tentang pakej pelancongan yang dipromosikan.
Berdasarkan banyak aduan yang diterima itu, maka agensi-agensi pelancongan sewajarnya memberikan maklumat yang beteul, perkhidmatan yang lebih terancang dan mengotakan apa yang dijanjikan. Ini kerana sebarang perubahan pada saat terakhir walaupun dapat diterima oleh sebilangan pengguna, namun sebahagian besar pengguna tidak berpuas hati dan sukar untuk menghadapi kenyataan yang keinginan mereka untuk melancong di beberapa destinasi yang tertentu tidak tercapai.
Apabila kita melihat kepada justifikasi pengguna, ia adalah munasabah kerana wang yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh mereka dan simpanan dalam jangkamasa yang lama. Selain itu kita sebagai pengguna berhak untuk membuat pilihan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Setiap kita mempunyai pilihan dan impian terhadap percutian.
Selain aduan tentang pertukaran destinasi pelancongan dan tempat penginapan pengguna, terdapat juga aduan tentang penjualan kad keahlian pelancongan. Pengguna disarankan agar tidak tertipu dengan promosi-promosi yang dijalankan di tempat awam dengan menjanjikan manfaat yang menarik. Kebanyakan syarikat yang mengambil bayaran daripada pengguna akhirnya menghilangkan diri serta tidak mempunyai premis. Sekiranya ada premis pun tidak tetap kedudukannya. Risiko penipuan yang tinggi ini menyebabkan pengguna mengalami kerugian dan kehilangan wang simpanan yang tinggi.
Sudah tiba masanya untuk pengguna menjadi lebih proaktif, berfikir panjang sebelum menandatangani sebarang perjanjian. Mereka juga perlu sentiasa sedar bahawa tiada sebarang perkhidmatan percuma di dalam aspek perniagaan. Oleh itu carilah maklumat di dalam forum dan internet sebelum membuat sebarang pembayaran kepada syarikat, simpan segala maklumat dan dokumen dengan sebaik mungkin.
Terdapat juga beberapa agensi pelancongan yang tidak berdaftar dan menjalankan perniagaan ini sebagai perniagaan sampingan. Dalam keadaan seperti ini, pengguna disaran supaya melaporkan epada Kementerian Pelancongan Malaysia ataupun NCCC untuk mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)