Pada musim perayaan tahun ini, semua warga kota dan desa sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh gembira dan berseronok. Cuti yang panjang sempena perayaan tahun ini memberi peluang kepada semua rakyat yang beragama Islam untuk berkampung di kampung halaman mereka dengan keluarga tersayang.
Semasa ingin pulang ke kampung, semua warga kota mahupun desa dinasihatkan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mereka bagi memastikan keselamatan mereka dan tidak menghadapi sebarang gangguan semasa dalam perjalanan. Antaranya, angin dalam tayar, enjin, brek, tayar simpanan, bateri dan komponen penting yang lain. Selain itu, komponen lain yang juga perlu diberikan perhatian alat pengilap cermin.
Berikut adalah beberapa panduan cara penjagaan pengilap cermin supaya ia tahan lama atau memanjangkan tempoh guna sebelum ia diganti baru.
Langkah pertama ialah pastikan getah pengilap itu dibersihkan bagi mengelakkan habuk halus atau pasir terlekat padanya akan menyebabkan cermin kenderaan bercalar apabila ia bergerak. Elakkan getah pengilap terkena bahan yang boleh mencairkan atau mengeraskan getah seperti turpentin, minyak tanah atau sebarang jenis asid.
Pada masa sama, pemandu dinasihatkan supaya memastikan semburan air untuk mengilap cermin turut berfungsi untuk mengilap cermin. Semburan air campuran syampu yang disyorkan oleh kedai aksesori perlu digunakan setiap kali pengilap itu berfungsi. Ia bertujuan bagi melicinkan permukaan cermin, sekali gus memudahkan tugas mencuci kekotoran yang terlekat pada cermin.
Pemilik tidak perlu mendapatkan bantuan orang lain untuk menukar pengilap cermin ini kerana ia mudah dilakukan sendiri. Yang penting mereka mendapatkan alat pengilap baru dari mana-mana kedai aksesori mengikut saiz yang sesuai dengan kereta. Untuk memudahkan orang ramai, cara memasang dan menanggalkan alat pengilap ini juga disediakan di belakang pembungkusnya.
Alat pengilap cermin juga menyediakan pelbagai jenama sama ada diimport atau buatan tempatan. Melindungi kenderaan daripada pancaran sinaran matahari juga dianggap langkah bijak untuk memberi ketahanan kepada getah pengilap. Penjagaan rapi terhadap alat pengilap cermin dapat memastikan hayat ketahanan alat pengilap cermin itu panjang dan selesa digunakan ketika hujan. Semua pemandu diharap dapat memeriksa kenderaan mereka sebelum tayar kenderaan bergolek ke kampung halaman dengan selamat.
Mageswaran A/L Senderal
ERA Consumer Malaysia