Dua produk teh hijau (green tea) telah dikaji oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat kerana membuat tuntutan pemakanan yang tidak munasabah dan tidak diiktiraf. Dua produk yang dikaji adalah Lipton Green Tea dan Canada Dry Sparkling Green Tea Ginger Ale.
Lipton Green Tea tidak mematuhi peraturan pelabelan. Manakala Canada Dry Sparkling Green Tea Ginger Ale adalah minuman berkarbonat yang merupakan minuman ringan, jadi ia sepatutnya tidak dituntut untuk fungsi pemakanan.
FDA telah menghantar surat kepada Unilever yang memiliki Lipton, berkenaan dengan tuntutan yang dipaparkan di laman web syarikat. Lipton memaparkan laporan di laman web mereka bahawa empat kajian telah dijalankan dan dibukti dapat mengurangkan kolestrol dalam badan dengan teh dan “flavonoid”.
FDA menyaran Lipton untuk mengeluarkan pelabelan tersebut kerana ia merupakan tuntutan untuk tujuan perubatan. FDA menyatakan bahawa pelabelan ini mengelirukan pengguna dengan tuntutan teh ini boleh mengubati atau mencegah penyakit.
Selain itu, FDA juga mengkritik Lipton tentang pelabelan antioksida pada Lipton Green Tea, pelabelan ini tidak mematuhi garis panduan FDA. Oleh sebab bahan yang digunakan bukan zat pemakanan yang diiktiraf untuk aktiviti antioksida. Jadi, produk Lipton tidak berhak menuntut ”Dipertambahkan dengan 200mg antioksida daripada teh hijau dan vitamin C”.
FDA mengulas bahawa pelabelan sebegini adalah satu penggeliruan kepada pengguna kerana teh Lipton dituntut dapat mengubati dan mencegah penyakit jantung. Apabila sesuatu sesuatu produk membuat tuntutan kesihatan, ia akan dianggap sebagai satu ubat atau dadah yang perlu mematuhi garis panduan FDA serta menjalankan percubaan klinikal.
Dalam tahun ini, FDA telah menghantar surat kepada 17 pengeluar makanan tentang maklumat yang mengelirukan dalam pelabelan 22 jenis makanan, termasuk kacang walnut dan pie kelapa.
Di Malaysia, pelabelan makanan adalah dikawal di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Peraturan-peraturan Makanan 1985 tidak mewajibkan pelabelan pada produk melainkan makanan bertujuan khas (contohnya rumusan bayi dan makanan berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak) dan makanan yang diperkaya atau
diperkuat.
Pengguna dinasihati supaya meneliti pelabelan makanan sebelum mengambil masuk sebarang makanan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia