Ramai pengguna telah menjadi mangsa pusat pelangsingan badan. Mereka tertarik untuk menggunakan khidmat pusat pelangsingan badan ini berdasarkan iklan promosi rawatan percubaan.
Apabila mereka berkunjung ke pusat pelangsingan badan tersebut, mereka akan dibawa memasuk bilik rundingan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan. Di dalam bilik tersebut, mereka mendapat khidmat nasihat daripada seorang pakar perunding. Ada pakar perunding yang menggunakan taktik seolah-olah memaksa mangsa untuk menyertai rawatan pelangsingan badan. Malah ada pula yang dikatakan berpengalaman dikurung dalam bilik rundingan itu selama 2 hingga 3 jam.
Jika pujukan pakar perunding tidak berjaya, pengurus syarikat akan meneruskan pujukan dengan mempengaruhi emosi mangsa dengan mengatakan tahap kesihatannya berada pada risiko yang tinggi. Lantaran tiada pilihan lain atau ingin melepaskan diri daripada perangkap pengurus dan pakar perunding, mangsa terpaksa bersetuju untuk menyertai rawatan pelangsingan badan. Perkara yang penting ialah pusat pelangsingan badan lebih suka mangsa yang mempunyai kad kredit.
Mangsa boleh membuat pilihan rawatan sendiri atau mengikut nasihat pakar perunding tentang beberapa sesi rawatan yang perlu dilalui untuk mendapatkan badan yang langsing. Pakej-pakej yang ditawarkan berbeza mengikut sesi, seperti 10 sesi, 15 sesi atau 20 sesi. Harga pakej berdasarkan jumlah sesi tersebut.
Apabila menandatangani untuk pakej tertentu, pusat pelangsingan badan memberikan jaminan bahawa harga pakej adalah tetap dan tiada caj tambahan. Apabila mangsa mulai menjalani rawatan, pusat pelangsingan tersebut telah mengenakan caj tambahan secara berterusan. Mereka juga memaksa mangsa untuk membeli kopi, oat dan krim membakar lemak dengan harga yang mahal bagi membantu dalam proses pengurangan badan, sedangkan produk tersebut boleh dibeli dengan harga lebih rendah di farmasi.
Ada juga mangsa yang tidak berpuas hati dengan rawatan yang diberikan selepas beberapa sesi. Apabila mereka membuat aduan tentang ketidakberkesanan itu, pusat pelangsingan mencadangkan pula penggunaan mesin yang berteknologi tinggi untuk mendapatkan bentuk badan yang diingini. Caj yang terlampau tinggi dikenakan untuk penggunaan mesin tersebut. Mangsa juga mengatakan bahawa rawatan yang diberikan juga sama seperti rawatan biasa yang terdapat di pusat spa dengan harga hanya RM 100.
Mengikut Seksyen 17, Akta Perlindungan Pengguna 1999, menjelaskan tentang “kontrak perkhidmatan hadapan” termasuk program penurunan berat badan. Kontrak perkhidmatan hadapan bermaksud suatu kontrak perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna secara berterusan, sebagai contohnya sebanyak 10 sesi.
Pengguna yang tidak berpuas hati dengan rawatan yang diberikan oleh pusat pelangsingan badan boleh membuat pembatalan. Niat pembatalan boleh menerangkan dengan perkataan atau perlakuan jika pusat pelangsingan badan tidak dapat dihubungi dengan cara yang munasabah. Notis pembatalan perlu dibuat secara bertulis jika pusat pelangsingan badan dapat dihubungi dengan cara yang munasabah.
Pusat pelangsingan badan boleh mengenakan lima peratus daripada harga penuh kontrak, kos bagi apa-apa barang yang digunakan atau disimpan oleh pengguna, atau bahagian harga penuh kontrak yang merupakan perkhidmatan yang diterima oleh pengguna. Jika pengguna telah membayar kepada pusat pelangsingan badan melebihi daripada rawatan yang diterima, pusat pelangsingan badan hendaklah membayar balik wang lebihan tersebut atau membolehkan bayaran balik didapati dalam masa empat belas hari dari pembatalan.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)