Insurans kini menjadi suatu keperluan asas kepada manusia dalam menjalankan kehidupan harian mereka. Apabila berdepan dengan kecelakaan seperti terbabit dalam kemalangan, masalah kesihatan dan lain-lain, mangsa bukan saja mengalami kesakitan akibat kecederaan atau kesakitan, tetapi juga menghadapi masalah kewangan yang besar.

Dalam situasi sebegini tanpa disedari, insurans memainkan peranan yang penting sebagai jalan keluar daripada permasalahan ini. Walaupun terdapat pelbagai jenis insurans seperti perubatan, pendidikan atau bermacam lagi, namun masih ramai yang belum menyedari kepentingannya.

Justeru, memiliki insurans ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tamat tempoh matang insurans.

Amalan memiliki insurans kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kewangan, seseorang perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membawa premium insurans pada setiap bulan. Ini sekali gus menjadikan insurans sebagai bebanan, sedangkan mereka tidak tahu bila faedah bakal dinikmati.

Dengan dilindungi insurans, seseorang itu yang mengalami kemalangan boleh mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta serta menerima insentif bantuan kewangan sepanjang tempoh rawatan.

Selain itu, dengan memiliki insurans, seseorang diberikan kad insurans yang membolehkan mereka mendapat rawatan lanjutan iaitu kemasukan ke wad rawatan di hospital swasta terpilih dengan mudah. Ini sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan pakar. Insurans memberi kelebihan cukup besar kepada individu serta keluarganya pada waktu sekarang dan masa depan.

Selain daripada memberi perlindungan dari segi nyawa dan perubatan, insurans juga berperanan sebagai suatu tabungan kepada individu itu sendiri pada waktu tua kelak. Sesuatu pakej insurans yang baik biasanya merangkumi 10 peratus nilai daripada jumpah pendapatan bulanan. Pakej itu tertakluk kepada skim perlindungan yang dikehendaki sama ada untuk simpanan, perubatan ataupun kedua-duanya sekali. Anda perlu mengetahui jenis pakej insurans yang ditawarkan sebelum melanggani sesuatu jenis insurans. Selidiki latar belakang syarikat insurans serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan.

Semua pengguna yang masih belum mengambil sebarang insurans, dinasihatkan supaya mengambilnya demi untuk memastikan masa depan yang lebih selamat dan sejahtera.


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia