Bagi mengelakkan diri anda menjadi mangsa penipuan dalam talian, anda hendaklah mengenal pasti perisian komputer yang tidak sah yang mungkin mencuri maklumat peribadi anda tanpa anda sedari.
1. Percaya gerak hati
Periksa harga jualan dalam talian berbanding harga pasaran perisian. Jika harga produk tersebut “terlalu menarik” mungkin barang tersebut tidak sah.
2. Pastikan perisian tulen
Rasa ragu-ragu dan berhati-hati dengan produk perisian yang tidak lengkap dengan bukti atau ketulenan seperti cakera asli, selain panduan, lesen polisi perkhidmatan dan waranti.
3. Berhati-hati dengan salinan perisian
Elakkan penjual yang menawarkan untuk membuat salinan perisian anda. Ini jelas menunjukkan perisian tersebut adalah tidak sah.
4. Hindari kompilasi
Berwaspada dengan kompilasi jenis perisian daripada pengeluar yang berbeza dalam satu cakera atau CD.
5. Dapatkan maklumat mengenai penjual untuk dihubungi.
Jika anda tidak dapat menghubungi penjual selepas membuat pembelian, anda tidak dapat berbuat apa-apa jika produk tersebut didapati tiruan. Oleh itu pastikan anda mempunyai alamat penjual.
6. Simpan resit.
Cetak nombor tempahan dan pengesahan pembelian dan simpan. Maklumat in akan membantu anda pada masa akan datang, contohnya sekiranya perisian tersebut adalah palsu, terdapat penipuan dalam pembelian, sebagai bukti pembelian dan sebagainya.
7. Pastikan pembayaran dibuat dengan selamat.
Pastikan sambungan internet anda selamat untuk digunakan.
8. Fahami terma transaksi.
Dapatkan maklumat yang jelas mengenai polisi perdagangan membabitkan pemulangan dan pembayaran balik, kos penghantaran, keselamatan dan perlindungan data peribadi sebelum membuat transaksi. Yang paling penting, semak logo atau lambang syarikat yang boleh dipercayai bagi memastikan penjual dalam talian tersebut adalah sah dan terdapat bukti yang memuaskan hati daripada pelanggan terdahulu.
9. Buat penyelidikan.
Sebelum membeli, buat sebanyak mungkin kaji selidik mengenai penjual dan pembekal. Dapatkan maklumat mengenai kadaran (rating) atau maklum balas daripada pelanggan sebelumnya.
10. Tanya pakar.
Hubungi phak-pihak yang lebih mengetahui mengenai produk tersebut.
Siti Rizadiana Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)