Pada masa sekarang, terdapat ramai pengguna yang telah menggunakan perkhidmatan masa hadapan yang berkaitan dengan perkhidmatan mengurangkan berat badan, kecantikan muka, masalah rambut dan pusat kecergasan badan.
Ini disebabkan oleh naluri pengguna yang sukakan kecantikan dan ingin memiliki bentuk badan yang cantik. Kebanyakan pengguna yang menggunakan perkhidmatan masa hadapan adalah wanita.
Berdasarkan rekod aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), 90% daripada mereka ini membayar melalui kad kredit. Bayaran menggunakan kad kredit itu dibuat secara ansuran.
Pengguna tidak perasan bahawa bayaran yang dicajkan adalah banyak kerana jumlah yang dibayar setiap bulan adalah kecil.
Namun jumlah keseluruhannya adalah besar. Ini juga merupakan taktik syarikat-syarikat untuk memperdayakan pengguna supaya mereka tidak perasan bahawa bayaran adalah besar, dan dengan ini akan terus melanggani perkhidmatan tersebut.
Banyak syarikat perkhidmatan masa hadapan menawarkan khidmat percuma kepada pengguna yang kali pertama menggunakan perkhidmatan mereka. Ini bertujuan untuk menarik perhatian dan minat pengguna. Apabila pengguna telah berminat dengan perkhidmatan mereka, maka pengguna tersebut akan dipaksa untuk menandatangani pakej mereka.
Selain itu, ramai pengguna yang menandatangani pakej tersebut tanpa terlebih dahulu membaca dengan terperinci terma dan syarat pakej. Ini menyebabkan mereka terperdaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan dicajkan bayaran tambahan yang tinggi.
Kebanyakan syarikat memberikan rawatan yang tidak kesan kepada pengguna pada pertama kali. Mereka memberi banyak alasan dengan menyatakan rawatan tersebut tidak berkesan kepada pengguna kerana masalah setiap pengguna adalah berlainan. Mereka akan memujuk pengguna supaya mengguna pakej yang lain. Ini menyebabkan pengguna terpaksa membayar bayaran untuk dua pakej termasuk pakej yang tidak berkesan.
Ramai pengguna mengalami masalah dengan pelatih pusat perkhidmatan tersebut yang tidak dapat berkomunikasi dengan baik, atau menghadapi masalah lain sehingga menyebabkan pengguna ingin menamatkan pakej tersebut, tetapi tidak dibenarkan oleh pihak syarikat. Pengguna tidak mendapat semula wang yang dibayar, walaupun dibenarkan menamatkan pakej. Ini menyebabkan pengguna terpaksa terus menggunakan pakej tersebut.
Pengguna dinasihati supaya membaca dan memahami terma dan syarat pakej sebelum menandatangani pakej. Selain itu, pengguna juga perlu mengetahui jumlah sebenar bayaran pakej yang ditandatangani walaupun membuat bayaran secara ansuran. Para pengguna boleh membuat aduan di NCCC sekiranya menghadapi masalah tentang perkhidmatan masa hadapan.
Chan Lit Ween
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)