Tingkatkan penyelenggaraan dan pemantauan di tangga bergerak atau eskalator di bangunan bertingkat bagi memastikan kemudahan premis selamat digunakan.

Itu saranan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman, agar orang ramai tidak terdedah bahaya ketika menggunakan kemudahan itu yang sepatutnya selamat.

Menyifatkan tindakan pencegahan paling baik, beliau berkata, ada pemilik premis menugaskan pengawal keselamatan melakukan rondaan berkala, malah ada yang menempatkan mereka di kaunter keselamatan berhampiran eskalator yang sentiasa bersedia jika berlaku kecemasan.

 

 

Tahu guna butang kecemasan

"Pengawal keselamatan yang bertugas mesti dilatih secara berterusan bagi menangani situasi cemas termasuk tahu menggunakan butang kecemasan untuk menghentikan operasi jika kemalangan.

"Pemilik premis juga mesti memasang tanda amaran di eskalator dan sentiasa membuat pengumuman agar pengguna mematuhi ciri keselamatan yang ditetapkan.

"Pemilik premis juga mesti menyediakan unit kawalan kualiti yang memastikan penyelenggaraan eskalator dilakukan secara berkala dan bersistematik," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kebimbangan orang ramai berikutan banyak kemalangan membabitkan eskalator semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Kebimbangan mereka berasas kerana daripada pemeriksaan berkala dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) keatas 20,370 eskalator dan lif di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tahun lalu, 2,747 unit didapati tidak mematuhi Akta Kilang dan Jentera (AKJ) 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (AKKP) 1994.

Dalam pada itu, penganalisis bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata eskalator seharusnya dipasang ciri-ciri keselamatan yang berupaya menghentikan operasi serta-merta jika ada benda tersekat.

 

INFO : Laporan akhbar mengenai kemalangan membabitkan eskalator.

10 Ogos 2015 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun patah peha kanan selepas tergelincir dari selusur eskalator lalu terjatuh dari tingkat satu di sebuah pasar raya di Kota Bharu.

23 Julai 2015 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun parah selepas tangannya tersepit pada eskalator sebuah pusat beli belah di Georgetown.

11 Mei 2015 – Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan terselamat selepas terjatuh dari eskalator di tingkat satu sebuah pusat beli belah di Jalan Sulaiman di Kota Kinabalu.

1 Jun 2014 – Pengunjung sebuah pusat beli belah terkemuka di Brickfields, Kuala Lumpur, gempar apabila seorang kanak-kanak perempuan maut sejurus ‘melayang’ jatuh dari eskalator di tingkat tiga bangunan berkenaan.

 

TIP KESELAMATAN ketika menggunakan eskalator.

• Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.

• Kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak.

• Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.

• Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.

• Pandang kehadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator.

• Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakan nya yang laju boleh mengejutkan mereka.

• Jangan lepaskan kanak-kanak sendirian apabila menaiki eskalator.

• Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.

• Lebih selamat gunakan lif jika membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik dan bagasi.

• Ketika melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.

• Memegang tangan kanak-kanak ketika melangkah meninggalkan eskalator.

• Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang bergegas disebelah kanan.

 

Sumber : Berita Harian - Nasional - (21 Ogos 2015, Jumaat)