Masih ramai pengguna kad kredit yang tidak menyedari bahawa mereka perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 bagi setiap kad kredit mulai 1 Januari 2010.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima pelbagai aduan tentang cukai perkhidmatan ini apabila pemegang kad kredit mulai menerima penyataan bulanan kredit semenjak bulan Januari yang lalu.
Dalam pembentangan bajet 2010, kerajaan telah mengumumkan pengenaan cukai sebanyak RM50 atas setiap kad kredit utama/prinsipal Manakala kad kredit tambahan pula dikenakan RM 25 bagi setiap kad.
Walaupun hal ini telah lama disiarkan melalui semua media utama di negara ini, namun masih ramai yang tidak begitu jelas mengenai perkara ini. Mereka mulai menunjukkan reaksi dan rasa tidak puas hati apabila bank mula mengenakan cukai perkhidmatan tersebut. Begitu juga ramai yang tidak menyedari bahawa cukai tersebut bukannya untuk bank, tetapi dikutip bagi pihak kerajaan.
Dalam hal ini, ramai pengguna yang tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan kad kredit dan perbezaannya dengan kad-kad lain yang ada di pasaran.
Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Perintah Sistem Pembayaran (Instrumen Pembayaran Yang Ditetapkan) 2003 menjelaskan bahawa kad kredit merupakan satu instrumen pembayaran yang membolehkan seseorang memperoleh barang dan perkhidmatan tanpa melibatkan wang tunai. Kad kredit boleh digunakan di mana-mana kedai saudagar yang mempamerkan jenama sesuatu kad kredit, sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara.
Antara alasan kerajaan mengenai cukai perkhidmatan bagi kad kredit adalah untuk mengawal penggunaan kad kredit dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan oleh pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemegang kad kredit akibat daripada kegagalan mereka menguruskan kad kredit dengan baik.
Berikut adalah beberapa fakta penting yang perlu diketahui oleh para pengguna berkaitan cukai perkhidmatan kad kredit.
Cukai perkhidmatan RM50 akan dikenakan secara automatik dalam penyata bulanan pertama apabila kita memohon dan mengutip kad kredit pada hari yang sama. Ia akan dikenakan bagi permohonan baru bermula pada 1 Januari 2010. Selain itu, bayaran sebanyak RM25 pula dikenakan untuk setiap kad tambahan.
Pengguna yang telahh menggunakan kad kredit sebelum 1 Januari 2010, mereka akan dikenakan caj pada hari ulang tahun tarikh kad kredit mereka dikeluarkan. Contohnya, kredit kad dikeluarkan pada 20 Mac 2009, cukai hanya dikenakan pada penyata bulanan pada 20 Mac 2010, iaitu genap setahun kad kredit tersebut.
Oleh kerana skop percukaian hanya meliputi kad kredit dan kad caj, maka kad debit, kad petrol, kad caj dalam komuniti tertutup, kad loyalti dan wang elektronik tidak termasuk dalam skop percukaian.
Cukai perkhidmatan yang dikenakan tidak akan dipulang balik kepada pengeluar kad selepas kad baru dikeluarkan walaupun pengguna tidak menggunakan kad tersebut. Cukai perkhidmatan hyga tidak akan dipulang balik ke atas baki tempoh kad tidak digunakan.
Kadar cukai perkhidmatan hendaklah dikenakan mengikut bilangan dan jenis kad yang dikeluarkan, sama ada kad utama atau kad tambahan. Sekiranya pengeluar kad kredit mengeluarkan dua kad kredit utama iaitu Visa dan MasterCard, maka cukai perkhidmatan yang dikenakan ialah RMI00 (RM50 + RM50) walaupun kedua-dua kad berkenaan dikeluarkan kepada pengguna yang sama atau kedua-dua kad berkenaan berkongsi had kredit (joint credit limit). Sekiranya pengeluar kad mengeluarkan satu kad kredit utama dan satu kad kredit tambahan, cukai perkhidmatan yang dikenakan ialah RM75 (RM50 + RM25).
NCCC berharap fakta yang diberikan di atas dapat menjelaskan kekeliruan yang dihadapi oleh pengguna. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan yang lain, sila hubungi institusi kewangan pengeluar kad kredit anda atau Bank Negara Malaysia.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
22 Mac 2010