Kerajaan diminta supaya mengekalkan skim perlindungan insurans pihak ketiga yang wujud pada masa ini.

Insurans merupakan perkara yang perlu dimiliki oleh sesebuah kenderaan bagi membolehkan kenderaan tersebut bergerak di jalan raya. Tanpa insurans, seseorang pemilik kenderaan juga tidak boleh memperbaharui cukai jalan. Oleh itu pemilikan insurans amat penting bagi semua kenderaan.

Cadangan kerajaan untuk mewujudkan skim baru insurans pihak ketiga menimbulkan kebimbangan kepada pemilik kenderaan. Sekiranya berlakunya kemalangan, mereka hanya layak untuk menerima pampasan sebanyak RM100,000 sehingga RM200,000 sahaja, berbanding sebelum ini pampasan ditentukan oleh mahkamah, yang adakalanya boleh mencapai RM2 juta hingga RM3 juta.

Kerajaan, khususnya Bank Negara perlu mengkaji semula cadangan skim baru ini agar tidak menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan, khususnya pemilik motosikal, yang merupakan golongan yang sering ditimpa kemalangan akibat daripada keadaan jalan raya yang tidak banyak menyebelahi mereka.

Begitu juga dengan pemilik kenderaan yang berumur lebih 15 tahun yang juga menghadapi masalah untuk mendapatkan skim perlindungan insurans pihak ketiga. Rata-ratanya yang memiliki kenderaan seperti ini adalah golongan yang berpendapatan rendah atau sederhana yang tidak mampu untuk sering bertukar kereta baru atau tidak mahu berhutang kereta baru selepas kereta yang lama itu telah langsai bayaran ansurannya.

Pusat Khidmat Pengguna Nasional (NCCC) menerima lebih daripada 600 aduan pada tahun 2009, tentang keengganan syarikat insurans memperbaharui skim perlindungan insurans pihak ketiga kepada kenderaan lama, khususnya yang berumur 25 tahun.

Kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan skim baru ini. Kerajaan tidak sewajarnya hanya melihat kepentingan syarikat insurans sahaja tanpa memikirkan kebajikan pemilik kenderaan yang wajib memiliki insurans bagi membolehkan kenderaan mereka digunakan di jalan raya.


Mohd Yusof Abdul Rahman

31 Mac 2010