Seorang teman telah pergi selamanya kerana komplikasi jantung. Apabila jenazahnya dituntut untuk dibawa pulang, pihak hospital memberitahu bahawa beliau, semasa hayatnya, telah berdaftar sebagai penderma organ. Alangkah murninya hati seorang sahabat mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, beliau masih dapat membantu orang lain.

Ramai pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Tentu saja kita tidak mahu ahli keluarga atau sahabat kita menderita atau pergi dengan menunggu organ yang boleh menyelamatkannya.

Peratusan penderma organ amatlah sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengikut perangkaan terkini Pusat Sumber Transplantasi Kebangsaan, seramai 141,733 orang telah mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Manakala seramai 100,169 orang pula telah mendaftarkan diri untuk mendermakan semua organ dan tisu. Di manakah bakinya orang dewasa daripada 26 juta rakyat Malaysia?

 

 

 

 

 

Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 2006, faktor penyebab kurangnya penderma adalah takut (56.3%) dan bukannya disebabkan oleh halangan agama.

 

 


Anda mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan anda. Tidak salah jika anda berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari http://www.agiftoflife.gov.my atau menghubungi Pusat Sumber Transplansi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-9080

Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia
1 Jun 2010