Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) amat mengalu-alukan penubuhan Tabung Amanah Tan Sri P Ramlee oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Penubuhan Tabung Amanah ini bertujuan untuk menghargai usaha Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni.

Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja dikenang kerana kegiatan seninya, tetapi juga usahanya dalam mengeratkan hubungan kaum di negara ini.

Jika kita lihat hasil karya P. Ramlee, ia banyak berkisar tentang aspek kemanusiaan, tanpa mengira kaum, termasuk dari segi pakaian, makanan dan sebagainya. Filem P. Ramlee merangkumi aspek kehidupan berbilang kaum, dengan watak pelbagai kaum diwujudkan dalam filem karyanya. Oleh sebab itu, filem P. Ramlee diminati oleh semua kaum di Malaysia sehingga ke hari ini.

Semangat ini sewajarnya dihayati oleh semua rakyat Malaysia selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Justeru, sekiranya kerajaan ingin mewujudkan anugerah tokoh 1Malaysia, maka P. Ramlee sewajarnya menjadi penerima pertama anugerah tersebut.

FOMCA berharap pengiat seni diMalaysia mencontohi usaha P. Ramlee dalam melahirkan lebih banyak filem yang mencerminkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

 

Datuk Marimuthu Nadason,
Presiden FOMCA