Sikap pelajar institusi pengajian tinggi yang mengamalkan perbelanjaan tidak berhemat merupakan antara faktor utama menyebabkan pinjaman yang disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup mereka.
Sebenarnya jumlah pembiayaan ditawarkan ini mencukupi untuk keperluan pelajar tersebut jika dibelanjakan secara yang berhemat.
Para pelajar sendiri perlu bijak menguruskan wang pinjaman tersebut untuk hal-hal yang berkaitan dengan bidang pengajian saja.
Apa yang sering berlaku ialah, ada pelajar yang menggunakan wang pinjaman PTPTN untuk perkara yang tidak sepatutnya, seperti membeli telefon bimbit mewah.
Sekiranya pelajar pandai menguruskan pinjaman tersebut, sudah tentu mereka tidak akan berhadapan dengan situasi seperti tidak cukup wang dan terpaksa ‘ikat perut’ apabila berada di penghujung semester.
Peranan sebenar PTPTN adalah untuk menguruskan pembiayaan pendidikan tinggi dan menyediakan skim pinjaman dan mengurus deposit kepada pelajar. Para pelajar sendiri perlu menjalankan tanggungjawab mereka semasa berada di institusi pengajian tinggi, iaitu menuntut ilmu dan bukannya berseronok atau bergaya dengan telefon bimbit mewah dan pakaian berjenama demi bersaing dengan pelajar lain.
Jayasilan Kandasamy
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)