Pengguna, yang terasa bebanan kos sara hidup, sebenarnya mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan ini, iaitu berusaha mendapatkan wang yang lebih atau mengurangkan perbelanjaan. 

Bagaimanapun, kekangan masa sering menjadikan pilihan kedua adalah lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Langkah ini boleh mula dilakukan dari rumah. Antaranya ialah memastikan penggunaan elektrik secara berhemat,  yang seterusnya dapat mengurangkan perbelanjaan bil elektrik.

Kemampuan mengurangkan bil elektrik melalui penggunaan yang berhemat, telah dapat dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.

Projek ini telah berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga, yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam) dan Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia, yang kedua-duanya merupakan ahli gabungan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Projek yang dilakukan oleh pelajar tersebut telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di sekolah berkenaan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.

 

Yang menariknya, projek tersebut dilakukan dengan hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal, seperti menaikkan suhu penyaman udara di bilik guru dan bilik pejabat lain yang terdapat penyaman udara kepada 24 darjah Celsius. 

Sebelum ini, kebanyakan bilik pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan, sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa. Akibat daripada langkah tersebut, ia telah meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.

Kini, kerajaan juga mengambil inisiatif yang sama, iaitu mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan supaya menaikkan suhu penyaman udara sekitar 23-24 darjah Celsius.

Orang ramai boleh mencontohi projek pelajar berkenaan, iaitu mematikan penyaman udara,  dan sebaliknya menggunakan kipas semasa hari hujan, serta membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara dalam bilik.

Selain itu, pelajar sekolah tersebut juga telah mengecat bilik dengan menggunakan warna yang terang. Langkah ini telah membolehkan pantulan cahaya secara semula jadi, sehingga tidak perlu menggunakan lampu untuk menerangi bilik. 

Selain itu, ibu dan bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.

Satu lagi tabiat pembaziran yang berlaku secara sejagat ialah tidak mematikan suis televisyen dan dekoder tv kabel apabila tidak digunakan. Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik. Bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari.

Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga dinasihatkan agar menanggalkan terus palam peralatan elektik daripada punca kuasa elektrik. Ini disebabkan masih terdapat arus tenaga yang mengalir merentasi palam kepada peralatan elektrik tersebut jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.

Malahan, amalan menanggalkan palam juga sebenarnya menyelamatkan peralatan elektrik, apabila berlakunya arus limpah akibat daripada ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan peralatan elektrik.

Antara amalan mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas ditutup jika tidak digunakan. Jangan sesekali meninggalkan komputer dan peralatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa ditutup, dan palamnya ditanggalkan daripada punca kuasa.

Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor LCD, pemanas air segera daripada menggunakan pemanas air dalam tong serta lampu kalimantang bagi menggantikan lampu mentol bulat yang lebih banyak menggunakan tenaga elektrik.

Amalan penggunaan tenaga elektrik secara berhemat ini perlu dijadikan sebagai satu budaya walau di mana juga berada, termasuk di pejabat, tempat awam atau semasa bercuti.

Bayangkanlah jika setiap daripada kita membudayakan amalan ini, sudah tentu kadar penjanaan tenaga elektrik negara dapat dikurangkan, atau sekurang-kurangnya kekal pada satu paras mendatar. Seterusnya ini akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera, serta membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Ini juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan keseluruhan penjanaan dan penghantaran tenaga elektrik ke seluruh negara. Justeru, ia akan mengawal kebarangkalian kenaikan tarif elektrik yang mendadak.

Sampai bila Petronas mampu untuk menanggung bebanan subsidi gas asli sebanyak 66 peratus, berbanding harga pasaran, untuk membiayai kos penjanaan tenaga elektrik?

Sedangkan kita sebagai pengguna masih terus menikmati subsidi, dan mengeluh apabila tarif elektrik terpaksa dinaikkan bagi menampung kos penghasilan tenaga yang sentiasa meningkat.

Kerajaan telah banyak menjalankan kajian dan insentif bagi menggalakkan penggunaan tenaga elektrik secara cekap dalam kalangan rakyat. Malah, Suruhanjaya Tenaga yang mewujudkan label kecekapan tenaga pada peralatan elektrik yang memenuhi piawai keselamatan dan kecekapan penggunaan elektrik.

Malangnya masih ramai pengguna yang tidak mengetahui tentang kewujudkan label kecekapan tenaga tersebut, apatah lagi memahaminya, termasuklah jurujual kedai elektrik sendiri.

Jadi, budayakanlah amalan penjimatan elektrik dalam kehidupan kita sekarang! Jimat tenaga, jimat wang!

 

 



Datuk Dr. Marimuthu Nadason
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)