MAKLUM BALAS BAJET 2017

OLEH

GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA (FOMCA)

 

PERUMAHAN

Bajet 2017 meneruskan kesinambungan perancangan kerajaan dalam membina rumah mampu milik. Kaedah pembiayaan biasanya menjadi masalah kepada rakyat. Pada bajet tahun ini, kerajaan mewujudkan skim pembayaran akhir end-financing untuk projek perumahan PR1MA. Melalui skim ini rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh mendapat pinjaman sehingga RM295.000. Walau bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan projek perumahan yang dibina dalam lingkungan harga RM250,000 ke bawah kerana jika harga rumah melebihi paras harga tersebut, ia akan membebankan pembeli untuk membayar ansuran bulanan. Ini akan meningkatkan hutang isi rumah yang pada masa ini agak tinggi.

Langkah kerajaan membina 10,000 unit rumah untuk disewa oleh golongan muda amat dialu-alukan. Ini membolehkan mereka menyewa rumah pada paras harga yang lebih rendah daripada harga sewa pasaran,  dalam keadaan pendapatan mereka yang masih rendah. Apabila pendapatan mereka telah stabil, maka mereka boleh membeli rumah sendiri.

FOMCA menyokong usaha kerajaan untuk memudahkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman secara lebih mudah. Namun begitu, kemampuan rakyat untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap agar tidak meningkatkan lagi jumlah hutang isi rumah.

 

 

PENJAGAAN KESIHATAN

 

Kualiti perkhidmatan sistem hospital kerajaan harus dipertingkatkan dari segi bilangan pakar dan kemudahan peralatan. Langkah untuk meningkatkan gaji pakar untuk memastikan mereka tidak berhijrah ke hospital swasta amat disokong. Namun begitu, FOMCA ingin mendapatkan penjelasan secara lebih terperinci tentang perkongsian dengan pihak swasta untuk menubuhkan hospital amal yang tidak berunsur keuntungan. Apakah implikasi kepada pengguna?  Adakah mereka perlu membayar, dan jika mereka eprlu membayar, berapakah kadarnya?

FOMCA mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar dan luar bandar. FOMCA juga mencadangkan kerajaan untuk terus berusaha meningkatkan bilangan pakar-pakar doktor di hospital untuk mengurangkan masa menunggu pesakit untuk berjumpa dengan pakar dan mendapatkan rawatan. FOMCA berharap kerajaan akan sentiasa memandang berat perkara ini sebagai satu langkah penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kerajaan dan seterusnya mutu kehidupan rakyat.

FOMCA menyokong hasrat kerajaan untuk memperluaskan Program Komuniti Sihat Perkasa Negara dalam usaha menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit –focus utama perlu diberikan dalam mengurangkan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan. Ini termasuk program-program kesedaran dan outreach yang lebih agresif, dan lebih banyak kajian-kajian perubahan sikap berkaitan kesihatan perlu dijalankan.

Walau bagaimanapun bajet tahun ini tidak menyediakan peruntukan untuk pembinaan Klinik Rakyat 1Malaysia yang baru. FOMCA berharap kewujudan Klinik Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan kerana ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam kesihatan.

 

PENGANGKUTAN AWAM

Kerajaan masih mengabaikan sistem bas yang merupakan titik kritikal sebagai `last mile’ dalam sistem pengangkutan awam. Sistem bas pada masa kini masih tidak boleh dipercayai (reliable) and perhubungan antara satu tempat dengan tempat yang lain masih lemah.

 

BR1M

FOMCA terus mencadangkan bahawa satu sistem jaringan sosial yang komprehensif diwujudkan bagi keluarga miskin. BRIM yang dihulurkan pada semasa ke semasa tidak memadai untuk menjamin satu kualiti hidup yang minimum. Maka satu bentuk pembayaran yang menyeluruh –merangkumi makanan, pengangkutan, dan perumahan, pendidikan kanak-kanak dan kesihatan perlu disampaikan untuk memastikan keluarga mencapai satu kualiti hidup yang minimum.

 

SEKTOR TENAGA

Peruntukkan sebanyak RM100 juta bagi pemasangan tiang lampu dan lampu LED bukan sahaja perlu difokuskan di kawasan kampung, bahkan pemasangan lampu LED juga perlu difokuskan di lebuh raya dan jalan-jalan utama yang mana sering menjadi tumpuan orang ramai. Hal ini dapat mengelakkan berlaku kemalangan, kerana masih terdapat jalan motosikal yang tidak mempunyai lampu jalan seterusnya membahayakan penunggang motosikal.

Lampu LED dapat menjimatkan lagi tenaga dan kos lampu LED adalah lebih rendah dan tahan lebih lama. Jadi lampu LED perlu dipasang di kawasan tumpuan orang ramai.

Peruntukan panel solar juga perlu diperluaskan di sektor industri dan sektor domestik. Pemasangan LED dan panel solar dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan dapat meningkatkan ekonomi negara.

 

 

SEKTOR AIR

Peningkatan peruntukan bekalan air bersih sehingga RM 732 juta adalah satu jumlah peruntukan yang bermakna kepada FOMCA.

Peruntukan untuk menaik taraf kapasiti dan membaik pulih sistem perpaipan bekalan air bersih juga diharapkan dapat mengelakkan daripada berlaku masalah bekalan air yang tidak mencukupi, begitu juga dengan Tabung Bekalan Air Bersih.

Walau bagaimanapun, tiada peruntukan untuk sektor pembetungan. Walhal pembetungan adalah satu perkara yang penting dalam memastikan kualiti alam sekitar, terutamanya sungai yang merupakan sumber air mentah utama.

 

BENCANA ALAM

Kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk negeri-negeri yang menghadapi bencana alam, seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya.

Tumpuan perlu diberikan untuk perlindungan dan pemeliharaan kawasan tadahan air selain daripada hutan simpanan dan taman negara. Hal ini disebabkan sumber air mentah utama datang daripada sungai, yang juga berada di kawasan bandar dan pertanian.

Peruntukan untuk Tabung Bekalan Air boleh ditingkatkan lagi kerana kos untuk aset, kemudahan serta penyambungan bekalan air amat tinggi. Kerajaan perlu memastikan bahawa dana tabung ini digunakan secara yang cekap supaya lebih banyak pengguna boleh mendapat manfaat dana ini.

Peruntukan projek mesra rakyat sebanyak RM 800 juta amat dialu-alukan, tetapi komponen perparitan perlukan peruntukan lebih. Ini kerana musim hujan di negara ini sering membawa kepada masalah banjir dan sering kali masalah ini timbul kerana sistem perparitan yang kurang baik

Dana untuk rancangan penebatan banjir perlu diuruskan dengan lebih baik. Projek-projek ini sering melibatkan kos tinggi dan memakan masa yang panjang.  Masalah banjir sering berkait rapat dengan pengurusan dan perancangan bandar yang kurang memuaskan. Oleh itu, kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan sebelum pembinaan projek yang mungkin tidak memberi penyelesaian yang menyeluruh kepada masalah tersebut.

 

PENDIDIKAN KEWANGAN

Pendidikan kewangan secara menyeluruh perlu diberi penekanan secara holistik termasuk golongan kakitangan awam, belia dan pekerja muda. Pendidikan kewangan adalah kemahiran hidup yang kritikal dan perlu difahami. Peningkatan kelayakan had pinjaman kepada kakitangan awam terhadap pinjaman motosikal, telefon pintar dan perumahan diharap dapat diuruskan secara berhemah, agar kakitangan awam tidak terlalu terbeban dengan hutang dan paling penting kemampuan untuk membayar balik pinjaman.

 

MYFARM OUTLET

Langkah kerajaan menambah empat buah MyFarmOutlet disokong baik oleh pihak FOMCA. Jualan di MyFarm Outlet ini perlu dipelbagaikan, iaitu penjualan produk makanan lain seperti industri ternakan ayam, telur, sayur-sayuran seperti cili, labu dan buah-buahan tempatan.