September 13, 2021 12:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan baharu bagi menangani masalah kenaikan harga barang, terutama harga ayam di pasaran.
Menurut Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pendekatan baharu ini membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus (engagement) bersama pengeluar serta penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.
"Di samping itu, pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya," katanya.
Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.
Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.
Tambahnya, KPDNHEP tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.
Pemantauan harga runcit pada 10 Sept mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah pada paras RM8.83/kg.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/harga-ayam-kpdnhep-ambil-pendekatan-baharu-319464