Jangan mudah terpedaya dengan gimik jualan murah di internet - MCMCJulai 23, 2021 10:32 MYT
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam Internet.

Kebanyakan produk ini dijual daripada laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara dan ia tidak tertakluk kepada akta di dalam Malaysia.

Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

Pengguna juga akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang telah dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna.

Justeru, sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai adalah digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian.
Sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.

Di samping itu, teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform edagang, bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.


JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT MCMC

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-mudah-terpedaya-dengan-gimik-jualan-murah-di-internet-mcmc-309877