Jun 10, 2021 @ 12:08pm
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan tawaran badal haji yang sering dipromosikan di media sosial oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.
TH dalam kenyataan media berkata, pelaksanaan Rukun Islam kelima ini memerlukan setiap jemaah dari luar Arab Saudi mendapatkan visa menunaikan haji manakala penduduk tempatan perlu memohon permit terlebih dahulu.
Sehingga kini katanya, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji tahun ini.
"TH amat bimbang dengan kes penipuan badal haji yang berlaku setiap tahun.
"Orang ramai diminta memastikan ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai kebenaran menunaikan haji serta berkelayakan dari segi ilmu untuk melaksanakan badal haji dengan sempurna.
"Selain itu, tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 seorang adalah tidak munasabah kerana kos permit dan perbelanjaan lain yang perlu ditanggung penduduk tempatan Arab Saudi bagi menunaikan ibadat haji adalah jauh lebih tinggi," katanya.
Menurut kenyataan itu, TH dan anak syarikatnya tidak pernah terbabit dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/716085/badal-haji-th-nasihatkan-orang-ramai-berhati-hati