KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan supaya projek perumahan baharu disediakan kemudahan Internet merupakan usaha awal ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan mempunyai kemudahan fasiliti komunikasi yang lengkap kepada masyarakat.

 

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penyediaan kemudahan internet seharusnya menjadi kewajipan pemaju di setiap kawasan perumahan kerana ia kini merupakan keperluan kepada semua.

 

Kerana itu apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merancang menggubal satu rang undang-undang (RUU) bagi mewajibkan setiap perumahan dan bangunan baharu menyedia akses kepada internet, ia disambut baik banyak pihak.

Beliau turut mengemukakan cadangan kepada KKMM untuk memberi kemudahan itu secara pukal di sesebuah kawasan perumahan agar kos pemasangan Internet dapat dikurangkan.

 

"Memang kos itu kita tanggung tetapi lebih baik ia dimasukkan ke dalam kos utiliti rumah dan kita tidak perlu ada sebarang kos tambahan lagi. Kerajaan juga perlu memberi kebebasan kepada pengguna untuk memilih syarikat telekomunikasi sendiri," katanya.

 

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menyatakan cadangan itu kemudahan internet itu, yang boleh dikategorikan sebagai utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk setiap unit rumah.

 

Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) Datuk Amarjit Singh Gill berkata cadangan itu boleh direalisasikan, malah pihaknya mengalu-alukan cadangan itu kerana ia memudahkan orang ramai mendapat akses internet.

 

"Kos pemasangan internet boleh dikurangkan apabila ia dipasang semasa proses awal pembinaan rumah berbanding setelah rumah siap dibina, pada masa yang sama ia menggunakan infrastruktur sambungan telefon yang dah sedia ada di setiap rumah cuma masuk 'line' saja," katanya.

 

Amarjit menyarankan agar KKMM turut memberi perhatian dalam menyediakan pembangunan infrastruktur internet di kawasan luar bandar.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Dr Jacob George berpendirian perbincangan secara menyeluruh dan komprehensif perlu diadakan terlebih dahulu dengan semua pihak sebelum mengemukakan sebarang cadangan bagi mengelakkan pengguna menanggung beban pada akhirnya.

 

Beliau turut menyatakan satu laporan penuh hasil kajian yang melibatkan semua pihak berkepentingan perlu dilakukan di samping melaksanakan satu projek perintis (pilot projek) untuk melihat keberkesanannya. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber :: http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-komited-lengkapkan-kemudahan-komunikasi-rakyat-1.863632

2 Ogos 2018, Sinar Harian Online