Jun 2, 2021 @ 2:02pm
Kepala Batas: Kerani dan guru menjadi mangsa terbaharu penipuan licik sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi serta polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 dan 55 tahun tampil membuat laporan polis, semalam berhubung kejadian.
Menurutnya, kerani wanita berusia 55 tahun itu memaklumkan dia dihubungi seorang individu kononnya dari syarikat telekomunasi, baru-baru ini.
"Individu itu mendakwa nama mangsa digunakan untuk pendaftaran internet secara tidak sah, tetapi mangsa menafikannya sebelum panggilan didakwa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban untuk membuat aduan dan semakan.
"Sindiket mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan akaun mangsa digunakan sebagai menyimpan wang haram terbabit.
"Mangsa yang panik hanya menuruti segala arahan dengan memindahkan wang simpanan berjumlah RM17,800," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek memaklumkan wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai, namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan.
Katanya, mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada ahli keluarganya dan menyedari dia diperdaya dengan sindiket penipuan.
Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam kes kedua, guru wanita kerugian RM5,000 dipercayai ditipu sindiket sama.
Menurutnya, mangsa turut mendapat panggilan kononnya dari syarikat telekomunikasi terbabit mendakwa mempunyai akaun telefon didaftarkan atas nama mangsa yang terbabit dengan sindiket judi dalam talian.
Katanya, syarikat itu mendakwa terpaksa menutup akaun telefon milik mangsa sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai polis di IPK Seremban.
"'Pegawai polis' terbabit mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan mengugut mangsa akan ditangkap serta direman dalam tempoh yang lama.
"Jika enggan ditahan, mangsa diminta menyerahkan maklumat akaun bank yang mempunyai sistem perbankan dalam talian serta memindahkan kesemua wangnya untuk tujuan siasatan.
"Mangsa yang ketakutan menuruti semua kata-kata suspek termasuk memindahkan RM5,000 dari akaun Tabung Haji miliknya sebelum sedar dia ditipu," katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/713011/kerani-guru-rugi-lebih-rm22000-ditipu-macau-scam