Mei 17, 2021 @ 11:13pm
Petaling Jaya: Seorang pesara wanita kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau scam yang menyamar pegawai bank dengan memperdaya konon kad kreditnya digunakan untuk pembelian mata wang dalam talian, bitcoin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 60 tahun pada 2 petang 1 April lalu ketika berada di rumahnya di Petaling Jaya menerima panggilan operator daripada bank yang memaklumkan kad kredit bank didaftarkan atas namanya membuat pembelian bitcoin di satu laman sesawang sosial.
Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu dan panggilan itu kemudian disambungkan ke bank negara.
"Seterusnya, mangsa memberikan maklumat peribadinya kepada pihak bank negara untuk membuat laporan polis bagi menafikan mengenai kad kredit yang didaftarkan atas nama mangsa.
"Pada 9.02 pagi keesokannya, mangsa menerima salinan laporan polis melalui WhatsApp dan panggilan telefon itu disambungkan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa diminta memberikan kesemua maklumat akaun banknya bagi tujuan untuk memperbaharui akaunnya daripada disalahgunakan oleh individu lain.
"Selepas itu, mangsa terima pesanan ringkas daripada pihak bank berkenaan dengan enam digit kod sebelum dia memberikan kesemua kod itu kepada pihak polis yang menghubunginya.
"Pada 10 Mei lalu, mangsa membuat semakan dengan pihak bank negara dan mangsa dimaklumkan panggilan yang diterima adalah panggilan palsu," katanya.
Beliau berkata, dia kemudian membuat semakan akaun banknya dan mendapati wang di dalam akaun banknya tiada.
"Mangsa memberikan maklumat tujuh akaun banknya dan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,303,710.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan tipu helah serta ugutan yang dilakukan oleh sindiket ini," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/707089/pesara-rugi-lebih-rm1-juta-ditipu-macau-scam