Selasa, 10 November 2020 @ 8:30 AM
Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 yang diumumkan minggu lalu menyaksikan pelbagai bantuan disalurkan namun rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 seperti hilang pekerjaan, kerugian dalam perniagaan dan hilang punca pendapatan tetap memerlukan suntikan kewangan.
Penganalisis ekonomi, Prof Dr Azali Mohamed berkata, penurunan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 11 kepada 9.0 peratus menerusi pengumuman Belanjawan 2021 dilihat akan memberi lebihan wang belanja buat pencarum seterusnya mampu merancakkan ekonomi domestik.
Katanya, jumlah inisiatif yang membabitkan sehingga RM9.3 bilion ini bakal menyaksikan pergerakan ekonomi lebih baik tahun depan.
"Memang benar, caruman KWSP untuk pelaburan jangka masa panjang dan simpanan hari tua, namun rakyat amat terkesan sekarang dan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021 dapat melegakan kira-kira 600,000 pencarum.
"Langkah ini hanya terpakai dalam tempoh 12 bulan tahun depan dan boleh berubah semula ke peratus asal apabila ekonomi sudah kukuh dengan pengumuman semula pada belanjawan seterusnya.
"Malah, pelepasan cukai pendapatan juga memberi lebihan sumber kewangan kepada golongan pekerja untuk berbelanja bagi kegunaan penting seperti keperluan harian, komitmen bulanan dan perubatan.
"Golongan ini juga boleh menggunakannya untuk meningkatkan kemahiran diri dengan mengikuti latihan dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, hal ini mampu menggalakkan pekerja yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meningkatkan dan memperbaharui kemahiran serta menceburi bidang kemahiran baharu.
Sementara itu, menurutnya, berkaitan peruntukan usahawan Bumiputera dan peniaga kecil, beliau menjangkakan ia akan membantu golongan itu kembali berdaya saing terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
Beliau berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada usahawan mikro, justeru suntikan pembiayaan daripada kerajaan seperti daripada Tekun Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pastinya membantu operasi perniagaan mereka.
"Diharapkan dengan bantuan diberikan usahawan Bumiputera akan dapat memajukan perniagaan mereka serta meneroka bidang yang kurang diberi tumpuan oleh Bumiputera.
"Ini berikutan sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan kerajaan bagi memperkasa usahawan wanita melalui Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan AgroBank.
"Selain itu, sebanyak RM50 juta juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.
"Manakala program bimbingan terutama aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe)," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/11/640075/pencarum-dapat-lebihan-wang