Oktober 20, 2020 @ 4:18pm
SHAH ALAM: Kekerapan masalah gangguan bekalan air di negeri ini dikhuatiri boleh menggugat keyakinan pengguna dan pelabur terhadap sistem pengurusan air negeri.
Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee, berkata gangguan bekalan air dilihat bukan sahaja membebankan pengguna individu, bahkan operasi syarikat, sekali gus berupaya memberi kesan kepada ekonomi.
Sehubungan itu, Lee mendesak kerajaan Selangor untuk mengambil tindakan segera bagi melindungi sumber air bagi memastikan bekalan air berterusan.
"Menuju ke tempoh akan datang ini, pembekal air harus menggunakan teknologi lebih canggih untuk menguruskan rangkaian bekalan dan sumber air.
"Keseluruhan rantaian bekalan air harus ditingkatkan dengan penggunaan teknologi tinggi bagi mengelakkan sebarang pencemaran atau gangguan pada masa depan
"Tanpa sistem pengurusan air holistik dan moden, negara khususnya Selangor akan tetap mengalami gangguan bekalan, " katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.
Pada 3 September lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa menghentikan operasinya di loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang disebabkan pencemaran bau dari Sungai Gong.
Kejadian sama berulang beberapa kali sejak tempoh itu apabila Air Selangor turut menghentikan tugas LRA di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi akibat pencemaran di Sungai Selangor.
Jacob berkata, kerajaan negeri seharusnya memberikan keutamaan dari segi pemulihan bekalan air kepada perindustrian kerana sumbangan mereka terhadap ekonomi.
Katanya, Selangor harus memberikan kebenaran kepada pengilang untuk mengguna pakai air bawah tanah dengan kadar bayaran minimum untuk melengkapkan bekalan air terawat.
"Namun, FMM menggesa penduduk dan pihak industri di Selangor memainkan tanggungjawab dengan tidak mencemarkan sungai apatah lagi kita ketahui bekalan air adalah mustahak.
"Selain itu, kita juga berharap proses pindaan Enakmen Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) 1999 akan menjadi penghalang kepada kegiatan tidak bertanggungjawab ini, " katanya.
Sebelum ini, LUAS dalam proses pindaan enakmennya untuk meningkatkan denda minimum RM200,000 atau tidak melebihi RM1 juta dan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai di Selangor.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/744086/gangguan-air-kerap-gugat-keyakinan-pengguna-pelabur